Isnin, 13 November 2017

KOMPOSISI BARU DAP BUKTI AGENDA KRISTIANISASI?

AKHIRNYA berlalulah sudah pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Kongres Khas 12 November 2017-nya. Mengikut Perlembagaan DAP, pemilihan semula ini adalah bagi memilih 20 ahli CEC.

Seperti dimaklumi, keputusannya tidaklah jauh berbeza dengan keputusan pemilihan CEC DAP pada 15 Disember 2012, di mana apa yang berbeza, selain urutan kedudukan calon-calon, hanyalah kemasukan Ronnie Liew Tian Khiew dan V Siva Kumar yang mengambil-alih tempat Karpal Singh dan Dr Boo Cheng Hau.

Mengikut Perlembagaan DAP juga, CEC DAP mempunyai kuasa untuk melantik tidak lebih dari 10 orang ahli tambahan ke CEC.

Setelah menyelidiki latar belakang 10 orang ahli tambahan yang dilantik ke CEC ini, adalah didapati bahawa sekurang-kurangnya 7 daripada 10 orang ahli tambahan ini adalah penganut Kristian tegar, di mana sebahagian daripada mereka pula diketahui sebagai terlibat dengan AKTIVITI EVANGELISME KRISTIAN, iaitu Stephen Wong Tien Fatt, Thomas Su Keong Siong, Dr Ong Kian Ming, Hannah Yeoh Tseow Suan, Yeo Bee Yin, Dr John Brian Anthony dan Jannie Lasimbang.


Saya tidak pasti apa agama anutan Wong Kah Woh, walaupun beliau kerap memaparkan gambar beliau bersama isteri beliau mengunjungi Gereja St Anne di Bukit Mertajam di samping kerap memaparkan gambar beliau merayakan Hari Krismas, begitu juga dengan agama anutan Khoo Poay Tiong. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pula adalah penganut Islam.

DAP sebenarnya telah mensesiakan peluang cukup baik untuk memperbaiki imejnya di kalangan pengundi Melayu Islam yang terbentang luas melalui pemilihan semula CEC ini.

Jika DAP benar-benar serius mahu memperbaiki imejnya di kalangan pengundi Melayu Islam, sudah tentulah tokoh-tokoh Melayu Islam yang bertanding di dalam pemilihan semula CEC ini, seperti Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Dr Ariffin Omar, akan dipilih. Malangnya, hanya Zairil Khir Johari, yang disifatkan banyak pihak sebagai bukan Melayu tulen tetapi Melayu celup, kekal menjadi sesatu calon yang terpilih.

Lebih jauh lagi, jika DAP benar-benar serius mahu memperbaiki imejnya di kalangan pengundi Melayu Islam, sudah tentulah tokoh-tokoh Melayu Islam yang hanya memasuki DAP selepas pemilihan CEC pada 15 Disember 2012, seperti Dr Abdul Aziz Bari, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Yeop Adlan Che Rose, selain mana-mana tokoh-tokoh Melayu Islam yang kalah di dalam pemilihan semula CEC ini, dilantik untuk mengisi kuota 10 orang ahli tambahan.

Bagaimanapun, di sebalik mengisi CEC dengan lebih ramai tokoh-tokoh Melayu Islam, DAP malangnya sekadar mengekalkan 1 kuota Melayu Islam di dalam kuota lantikan ini dengan melantik Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bagi menggantikan tempat yang disandang oleh Dr Ariffin Omar.

Sangat pelik sekali melihat cara para pemimpin DAP berpolitik ini kerana di saat ia sedang menghadapi krisis keyakinan yang serius di kalangan pengundi Melayu Islam, dan di saat ia sedang diserang dengan isu Kristianisasi, tokoh-tokoh Kristian jugalah yang menjadi pilihan utamanya untuk dilantik ke CEC sedangkan ini hanya akan memperkuatkan lagi dakwaan bahawa DAP memang mempunyai agenda Kristianisasi.

Dr Kamarul Zaman Yusoff - HARAKAHDAILY 13/11/2017

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...