Rabu, 4 Oktober 2017

TELUNJUK MAHATHIR LURUS TAPI PENUH DENGAN NAJIS

Empat parti politik – DAP, PPBM, PKR dan Amanah BERLAGAK sebagai sebuah entiti politik berpadu seperti Umno-BN demi menumbangkan perikatan politik yang sudah dijalin sejak enam puluh tahun lalu itu. Bagaimanapun lakonan itu tidak jujur.
Mendaftarkan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah parti politik hanya pementasan sandiwara politik yang menakutkan dan boleh menghunjamkan negara ke lembah kehinaan kerana cuba memutarbelit keluhuran sistem demokrasi demi mencapai matlamat politik. 

Pertama, PH menghadapi krisis saling tidak mempercayai di antara anggota mereka. Contoh paling jelas ialah apabila PH mengambil pendirian tidak mahu PAS menjadi kerabatnya, PKR bertindak sebaliknya. 

Kedua, PH juga mempamerkan nilai politik yang buruk dalam percubaan meniru perpaduan Umno-BN kerana ia lebih cenderung menebarkan jaring propagandanya yang berpaksikan putar belit fakta dan fitnah. 

Justeru, serahkan pada pemimpin-pemimpin PH untuk memberi intepretasi apa jua gerak kerja kerajaan Umno-BN dan mereka akan mampu memberi tafsiran politik menggiurkan untuk menyemarakkan kebencian terhadap kerajaan

Tidak kira sama ada pengamatan PH itu bersandarkan fakta atau emosi dan mungkin juga tipu daya, yang penting tidak mungkin bacaan politik mereka akan memuji apatah lagi memihak pada kerajaan. Itu hakikat.
Misalnya, dalam isu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat minggu lalu berikutan jemputan presidennya Donald Trump. PH cuba meremehkannya dengan mengatakan pertemuan itu berlangsung tidak sampai enam minit.


Ini cuba menggambarkan bahawa Najib sebenarnya tidak dipandang tinggi oleh Trump. Malah gelagat Trump berpeluk tubuh mendengar ucapan Najib ditafsirkan sebagai tindakan angkuh dan memandang rendah si pembicara. 

Ada yang cuba menyamakan tindakan bekas Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Michel Camdessus ketika menyaksikan Presiden Suharto menandantangani perjanjian pinjaman menyelamatkan ekonomi republik itu pada 1998.

Pentafsiran PH itu memang tidak berniat baik. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Najib perlu merendah diri pada “tuannya” dalam episod berkenaan. Ini dihias pula dengan gambar photoshop di mana Najib mencium tangan Trump tanda akur ketuanan Amerika.

Walhal gambar itu disunting daripada gambar Najib tunduk mencium tangan ibundanya, Toh Puan Rahah Noh. Sesungguhnya ini adalah perbuatan yang jahat, kejam dan jelek. Ini mentaliti PH.

Bagaimanapun kecenderungan PH tidur sebantal dan melayan mimpi politik yang berbeza ini sering membuat PENGUNDI SEMAKIN MENJAUH DARIPADA PERJUANGANNYA. Diakui kempen mereka mendapat sambutan tetapi hanya sebagai sesi penglipur lara politik sahaja.
Natijah gejala ketidaksefahaman ini dapat dilihat pada episod persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 apabila Anwar Ibrahim, Ketua Umum PH dan juga PKR mahu rundingan dengan PAS diteruskan. Alasannya mahu mengelak pertandingan tiga penjuru.

Sebelum ini PH menentukan strategi teras PRU14 ialah mengelakkan pertandingan tiga penjuru. PH mahu bersaing dengan BN sahaja. Jika ada parti ketiga, ia akan memecah undi di sesuatu kawasan berkenaan. Demikian alasan Anwar mahu PAS dirundingi. 

Pemikiran Anwar disanggah bukan sahaja parti kerabat PH tetapi ia membelah perpaduan PKR sendiri. Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap idea Anwar ini adalah satu masalah bagi PH; walaupun beliau percaya ia boleh diatasi.

Mahathir tidak mahu menyantuni PAS lantas beliau segera memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi untuk memimpin PH membuat ketetapan menolak berunding dengan PAS. 

Ini menggirangkan pemimpin PKR seperti Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution, William Leong. Sekaligus Anwar sedar bahawa jika tidak ditangani segera, warkahnya yang mengakui menyokong usaha Timbalan Presiden PKR berunding dengan PAS, akan meracik PKR.

Maka usaha menyelamatkan keadaan segera dilakukan. Jika beliau menarik balik mesej warkahnya, tentu itu akan merendahkan persepsi pemimpin PKR dan PH terhadapnya. Maka Anwar perlu melontarkan idea baru bagi memperbaiki imejnya.

Anwar mengutus satu lagi warkah kepada PKR dan PH yang intipatinya mahu fokus diberikan kepada kempen bagaimana ‘salah tadbir’ ekonomi negara perlu dijadikan agenda utama PH demi menokok kebencian rakyat terhadap kerajaan. 

Anwar cuba mengalih pandangan rakyat daripada sisi buruk dan bercelaru PH kepada isu populis yang kononnya mahu membela rakyat yang sedang “dicekik” pengurusan ekonomi Umno-BN yang tempang. 
Serentak syor Anwar, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan PKR akan mencontohi DAP dan PAS yang bersedia mengorbankan kerusi tradisi masing-masing bagi memberi peluang PKR bertanding pada PRU 1999.

Tingkah Anwar dan Azmin ini dilihat sebagai ikhtiar “memujuk” kerabat PH supaya melupakan usaha mahu membabitkan PAS dalam skim politik PRU14 PH.

Namun ketegaran Mahathir sebagai pengerusi PH, memang sedia difahami Anwar. Ini kerana jika PAS dibabitkan dalam strategi induk ‘satu lawan satu’ PH, sudah tentu peluang bagi PPBM mendapat lebih banyak kerusi untuk ditandingi, akan berkurangan. 

Mahathir mahu mencatat impak yang besar dalam PRU14. Beliau mahu PPBM muncul parti pembangkang menang paling banyak kerusi. Justeru ia perlu bertanding seberapa banyak kerusi yang mungkin. Kehadiran PAS dalam congakan PH akan merencat cita-cita ini.

Lantas Mahathir menggunakan sepenuhnya kedudukannya sebagai pengerusi PH untuk menunjuk jalan pintas menumbangkan Umno-BN. Anwar dapat membaca bahawa telunjuk Mahathir mungkin lurus “TETAPI KELINGKINGNYA TETAP BERKAIT”.

Baik Anwar mahupun penyokongnya dalam Jemaah pembangkang haruslah insaf bahawa selagi beliau masih dipasung penjara, beliau tidak mungkin mampu memimpin PH secara mutlak seperti dalam PRU13 pada 2013.

Tidak mungkin Anwar berpeluang mengepalai pengaturan dan pelaksanaan strategi PH sepenuhnya. Sementara itu, Mahathir akan terus mempengerusikan PH mengikut selera dan kebijaksanaannya. Anwar hanya Ketua Umum yang tiada kuasa khusus. 

Sumber: Antarapos


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...