Kebimbangan bahawa kira-kira 14.5 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) mungkin hilang aliran pendapatan dividen yang kukuh sekiranya
dana pencen itu menjual 49% kepentingannya dalam syarikat pengendali lebuh
raya, PLUS Malaysia Bhd, kini semakin meningkat.
Kebimbangan ini semakin meraih momentum susulan laporan berita bahawa
usahawan Tan Sri
Abu Sahid Mohamad berusaha untuk mengambil alih PLUS Malaysia melalui Maju
Holdings Sdn Bhd.
Selain 49% ekuiti KWSP dalam PLUS Malaysia, majoriti 51% pegangan saham
lagi dipegang oleh UEM Group Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh
Khazanah Nasional Bhd.
Penganalisis berkata cadangan itu perlu ditolak kerana kedua-dua dana
pencen dan cabang pelaburan kerajaan itu menikmati pulangan yang baik daripada
pengambilalihan PLUS Malaysia sejak akhir 2011.
Mereka
juga berkata PLUS Malaysia merupakan perniagaan teras bagi Khazanah, dan
pelaburan teras bagi KWSP, dan sudah pasti merupakan penjana pendapatan penting
bagi kedua-duanya.
Justeru,
timbul persoalan mengapa KWSP atau Khazanah perlu menjual syarikat pengendali
lebuh raya itu.
Andai penjualan dilakukan, pencarum berpendapat KWSP akan kehilangan
pendapatan bernilai daripada kutipan tol dan, akibatnya akan berhenti membayar
dividen yang baik kepada pencarum.
Persoalan
lain yang timbul ialah mengapa perlu menjual aset negara kepada pihak swasta
sedangkan ia milik rakyat menerusi syarikat berkaitan kerajaan (UEM Group) dan
KWSP.
Pelaburan itu telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia termasuk di
Sabah dan Sarawak, oleh itu, PLUS Malaysia perlu terus kekal dalam portfolio
KWSP sebagai pelaburan strategik jangka panjang, kata penganalisis itu.
Dan
apabila dividen dibayar kepada Khazanah, ia masuk semula kepada kerajaan yang
kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur.
Penganalisis
berkata berdasarkan sifat strategik aset itu, Khazanah dan KWSP wajar terus
kekal sebagai penjaga perniagaan tersebut kerana mereka mewakili kerajaan dan
rakyat.
Sungguh
melegakan apabila Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan
dilaporkan berkata bulan lepas bahawa KWSP tidak merancang untuk melupuskan 49%
pegangannya dalam PLUS Malaysia ‘kerana pelaburan dalam syarikat tersebut telah
memberikan pulangan yang baik kepada dana pencen itu’.
Bernama
memetik beliau sebagai berkata bahawa dana dan Kumpulan UEM telah melabur
secara besar-besaran dalam mengembangkan rangkaiannya, terutama di Lembah
Klang.
Beliau
juga dipetik sebagai berkata bahawa ‘PLUS Malaysia telah banyak menyumbang
kepada pendapatan KWSP.’
UEM
Group, selepas menerima surat niat tidak terikat daripada Maju Holdings, juga
berkata ia tidak berhasrat menjual sahamnya dalam PLUS Malaysia.
Sumber: KLIK DISINI