Bajet HARAPAN boleh mufliskan negara
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata belanjawan alternatif Pakatan
Harapan (HARAPAN) akan membawa Malaysia ke kancah muflis jika ia benar-benar
dilaksanakan.
Beliau berkata, ini kerana belanjawan itu tidak bertanggungjawab
dalam aspek fiskal dan BERDASARKAN JANGKAAN SEMATA-MATA.
"Bagi pakatan politik yang sentiasa menyebarkan dakwaan tidak
berasas yang Malaysia menghala ke arah muflis di bawah kerajaan BN, mereka
sebenarnya yang akan membawa Malaysia ke arah itu dengan fiskal yang tidak
bertanggungjawab.
"Agenda ekonomi hanya mempunyai wibawa jika rancangan
perbelanjaan didasari langkah yang perlu untuk menjana hasil.
"Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan langkah tidak
mampan dan populis seperti digariskan belanjawan alternatif itu,"
katanya dalam kenyataan.
Berbeza dengan belanjawan itu, Mustapa berkata Bajet 2018 yang
akan dibentangkan kerajaan Jumaat ini mempunyai rancangan ekonomi yang
baik dan bertanggungjawab, yang dapat mengangkat status negara menjadi
ekonomi berpendapatan tinggi.
Belanjawan bertemakan "Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih
Harapan" yang dibentangkan hari ini antara lain menyatakan pemansuhan
GST dan pengembalian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Jumlah peruntukan dalam belanjawan itu ialah RM258.52 bilion
dengan jangkaan pungutan hasil RM229.44 bilion dan defisit dua peratus.
Mustapa yang pernah menjadi menteri kewangan kedua menyifatkan
belanjawan itu sebagai retorik politik, sama seperti belanjawan HARAPAN pada
tahun-tahun sebelumnya.
"Ia mengulang janji sama - menghapuskan GST dan tol, serta
memberikan pendidikan percuma. Sekali lagi mereka gagal memberikan rancangan
yang jelas dan konsisten bagaimana ia dapat dilaksanakan.
"Berbanding menyatakan rancangan kehilangan hasil (akibat
pemansuhan GST), mereka hanya berpandukan jangkaan meragukan yang pemotongan
cukai akan membawa kepada peningkatan penggunaan (aktiviti jual beli) dan
pungutan cukai," katanya.
Bagi menampung kehilangan hasil daripada GST yang dijangka
RM42 bilion, belanjawan HARAPAN menyatakan SST dapat menjana pendapatan
bersih RM16.5 bilion.
Menurut belanjawan itu, kekurangan RM25.5 bilion akan ditampung
dengan menyalurkan hasil yang dikumpulkan ke dalam ekonomi yang akan
meningkatkan hasil persekutuan, ekoran peningkatan jual beli pengguna dan
perniagaan.
Sumber: KLIK DISINI