KUALA TERENGGANU - Gejala maksiat
di Pantai Batu Buruk bukan perkara baru.
Lebih menyedihkan, kelakuan tidak
senonoh di kerusi konkrit disediakan itu turut berlaku ketika golongan lelaki
menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian, semalam,
mendapati, kelakuan pasangan terbabit bukan sahaja mencemarkan kawasan
peranginan itu, tetapi turut menimbulkan rungutan pengunjung wanita yang datang
bersama anak masing-masing.
Rahimah Omar, 36, berkata, pihak
berkuasa sebelum ini boleh dianggap berjaya menangani masalah itu tetapi
malangnya, hanya sementara. Ia kini berulang semula.
Lebih memalukan, katanya
perbuatan itu berlaku ketika orang lain bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.
"Kejadian dipercayai
melibatkan remaja yang datang dari luar daerah ini. Kalau tanya pendapat saya,
pasti saya kecewa dengan tindakan remaja terbabit kerana mereka tidak
mempedulikan orang ramai.
“Walaupun hanya dua, tiga
pasangan remaja yang kelihatan memadu asmara, ia tetap memalukan kerana ketika
itu khutbah Jumaat sedang disampaikan,” katanya.
Sementara itu, beberapa pekerja
pembersihan kawasan pantai mengakui, kegiatan tidak bermoral itu turut berlaku
pada hari biasa dan cuti umum.
Justeru, mereka berharap pihak
berkuasa terutama Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu dapat memantau kejadian
itu agar tidak berulang..
Rujukan artikel terdahulu: KLIK DISINI