Selasa, 22 September 2015

ANWAR IBRAHIM KECEWA KEPUTUSAN PAKATAN HARAPAN MENGENEPIKAN PAS ?

Pakatan Harapan ditubuh, kali ini tanpa Pas

SUBANG JAYA, 22 September:

Secara rasminya hari ini, Pakatan Harapan ditubuh melibatkan PKR, DAP dan juga Parti Amanah Negara tanpa Pas.

Pakatan tersebut tertubuh setelah selesai Perbincangan Meja Bulat yang berlangsung selama lebih tiga jam dan diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kita muafakat penubuhan satu Pakatan Harapan cadangan namanya.


“Krisis dan kepincangan kepimpinan Najib tidak boleh berterusan… Mengambil kepentingan rakyat ini untuk kepentingan rakyat parti-parti yang hadir bersetuju untuk membuat pakatan pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan,” katanya kepada wartawan ketika sidang media di Empire Hotel hari ini.

Susulan daripada penubuhan Pakatan Harapan itu, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan dengan diwakili Setiausaha Agung setiap parti bagi membentuk dasar gabungan dengan lebih terperinci.

“Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.

“Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan dan lain-lain,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Wan Azizah turut menyatakan keterbukaan Pakatan Harapan untuk menerima mana-mana parti lain untuk bersama mereka meskipun tidak merujuk langsung kepada Pas.

Malah katanya lagi, hasil perbincangan sepakat melalui meja bulat berkenaan, Pakatan Harapan bersedia untuk melantik Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.


“Kami yakin beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak,” tambahnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...