Jumaat, 18 September 2015

GERAK GEMPUR SEBENAR PERLU DILAKSANAKAN: Orang Melayu tak akan berdiam bila dicabar


SINTOK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, orang Melayu tidak akan berdiam diri sebaliknya bangkit mempertahankan maruah bangsa mereka apabila dicabar.

"...apabila maruah kita (orang Melayu) dicabar, adakah kita mahu terus ditolak ke dinding dan kita berdiam diri. Jangan harap itu berlaku, kita akan bangkit menjaga maruah dan sahsiah kita," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Pengurusan Sempadan anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.


Turut hadir Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian semasa merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu anjuran Persatuan Seni Silat Kebangsaan  (Pesaka) dan disertai anggota-anggota 250 badan bukan kerajaan (NGO) lain di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya walaupun polis menyatakan perhimpunan itu disertai kira-kira 35,000 orang, tetapi beliau berpendapat jumlahnya jauh lebih besar hingga mencecah 150,000 orang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak yang telah menganjurkan perhimpunan sebanyak empat kali sebelum ini supaya tidak menganggap mereka mendapat  sokongan majoriti sehingga menafikan golongan majoriti yang senyap. 

"Apa-apa sahaja yang berlaku, akan ada tindak balasnya," kata beliau.
\Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementerian dan  Polis DiRaja Malaysia akan terus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu merobek keselamatan dan ketenteraman awam serta negara," katanya sambil meminta semua pihak di negara ini supaya menghormati antara satu sama lain.

Terdahulu, Mohamed Mustafa berkata Ghazali Shafie Graduate School of Government di UUM berhasrat menyumbang kepakaran membantu negara dalam isu membabitkan keselamatan dan pengurusan sempadan negara.

Beliau berkata, isu-isu besar seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta pendatang asing tanpa izin, jika tidak dibendung, boleh menjejaskan keselamatan negara.


Sehubungan itu, katanya UUM menawarkan khidmatnya  menjadi pusat sumber dan rujukan kepada kerajaan dalam hal ehwal sempadan berikutan lokasinya yang berdekatan dengan sempadan negara. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...