Anggota BN
Bertanding Calon Bebas Di PRK DUN Chempaka Akan Dikenakan Tindakan
KOTA
BAHARU, 27 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan mengambil tindakan ke
atas mana-mana anggotanya yang bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya
Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka 22 Mac ini.
Pengerusi
BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata anggota parti harus akur dengan
keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan untuk tidak meletakkan calon
bertanding pada PRK berkenaan.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas sesi bicara Komuniti Ekonomi ASEAN
sempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Universiti Malaysia Kelantan
(UMK) Kampus Kota di sini, hari ini.
BN
baru-baru ini mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK DUN Chempaka pada 22
Mac untuk memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan
serta membantu mangsa banjir di negeri itu, demi perpaduan ummah.
Mengulas
mengenai tohmahan segelintir pihak yang mendakwa BN takut bertanding di kubu
kuat PAS itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan
sekali lagi menegaskan perpaduan ummah perlu diutamakan berbanding menambah
bilangan kerusi dalam DUN.
"Itu
sebabnya kita tak bertanding (mahu ummah bersatu). Lepas banjir ni kita redakan
(ketegangan), kita dah ada perkara yang kita buat bersama (antara kerajaan
persekutuan dan negeri) dan kita fokus kepada kepentingan rakyat.
"Ada
perkara-perkara yang kita boleh berbeza pendapat tapi ada perkara-perkara yang
kita harus (duduk) bersama dan kita harap ada titik pertemuan dalam hal-hal
yang penting untuk agama, bangsa dan negara," katanya.
Kerusi DUN
Chempaka kosong berikutan penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal
dunia akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas. BERNAMA.