Khamis, 29 Februari 2024

Sultan Selangor keluarkan teguran diraja terhadap Hadi

 


KLANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima perkhabaran diraja kerana melintasi garisan dengan kenyataannya.

Hadi menerima warkah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan tidak menghormati Raja-Raja Melayu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini terhadap beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan.

Teguran diraja itu disampaikan menerusi sepucuk surat yang ditujukan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab. Halim Tamuri yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Munir Bani.

Dalam surat bertarikh 27 Feb itu, Munir berkata, Sultan Sharafuddin dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi bertajuk "Ketinggian Islam Wajib dipertahankan", yang tular di media sosial dan menyasarkan ilmuan agama, peguam, hakim, Ahli Parlimen, ADUN dan Raja-Raja Melayu.

Munir berkata, Sultan Sharafuddin percaya kenyataan Abdul Hadi menunjukkan beliau (Abdul Hadi) tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Raja berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

"Kenyataan sinis Tan Sri Abdul Hadi yang mengatakan bahawa 'perlu melihat keperluan akhirat dan bukan kepentingan duniawi' adalah tidak sesuai dan tidak sopan daripada perspektif budaya Melayu," kata Munir.

ambah beliau, budaya Melayu sentiasa dihormati dan baik ketika berucap kepada Raja-Raja Melayu.

"Kenyataan Abdul Hadi juga mengkritik hakim-hakim (mengatakan) mereka gagal mentafsir Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam yang sebenar dan nampaknya (menurut Abdul Hadi) Perlembagaan Persekutuan dicipta dan digubal oleh penjajah mengikut bentuk acuan mereka untuk memusnahkan agama, bangsa, bahasa dan negara akhirnya," kata Munir dalam surat kepada pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Tambah Munir, kenyataan Abdul Hadi yang tidak menghormati itu bertujuan mengelirukan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya boleh memecahbelahkan mereka terutama orang Melayu di negara ini.

"Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi bahawa Perlembagaan Persekutuan diwujudkan oleh penjajah yang mengetepikan kedudukan Islam adalah tidak wajar," kata Munir.

Sultan Selangor keluarkan teguran diraja terhadap Hadi (msn.com)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...