Isnin, 18 Jun 2018

KERAJAAN NEGERI JAMIN SEMUA DUN DAPAT PERUNTUKAN


KUALA TERENGGANU - KERAJAAN NEGERI MEMBERI JAMINAN bahawa semua kawasan Dun di negeri ini akan mendapat peruntukan pembangunan masing-masing, termasuk di kawasan pembangkang.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan itu akan disalurkan mengikut keutamaan dan kesesuaian, setelah belanjawan dan peruntukan dirangka semula, bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini menerima faedah dan manfaat sama rata.

Menurutnya, walaupun kawasan Dun yang diwakili bukan parti kerajaan, ia bukan bermakna kerajaan negeri akan meminggirkan mereka, sebaliknya akan melihat dan mempertimbangkan apa juga keperluan mendesak di kawasan itu.

“Contohnya kalau di Dun itu ada masalah rakyat seperti rumah yang perlu dibaiki, kita masih ada peruntukan. Kita perlu buat pelarasan kembali, tengok balik peruntukan mana yang lebih, daripada sumber lain dan kita cuba tarik untuk kegunaan rakyat.

“Peruntukan pula bergantung pada keperluan. Peruntukan pembaikan rumah umpamanya, ada jumlah-jumlah tertentu berbanding peruntukan lain seperti jalan raya. Disebabkan banyak peruntukan itu mengikut 'point-point' berbeza, tapi kita telah bahagikan mengikut jenis-jenis perbelanjaan,” katanya.

Sebelum itu, beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Ladang di Dewan Sivik Pasir Panjang, di sini, hari ini, anjuran Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Mengulas mengenai ‘catuan kewangan’ yang akan dibuat dengan memberi keutamaan kepada Adun Pas, beliau berkata, ia memandangkan mereka tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Jelasnya, parti memerintah sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk setiap Dun, bagaimanapun, peruntukan tersebut telah habis dibelanjakan dalam tempoh tidak sampai setengah tahun iaitu sehingga April tahun ini.

“Catuan itu hanya pada perkataan, bukannya kita catu tapi kita menilai kembali daripada segi keperluan. Tentulah Dun-Dun yang diwakili parti lain pada penggal yang lepas, mereka telah mampu berbelanja kepada rakyat-rakyat Dun mereka dengan begitu baik berbanding dengan bukan parti pemerintah (ketika itu).

“Sebab itu kita perlu nilai dan fokus balik serta pertimbangkan agar semua rakyat negeri ini dapat menikmati apa jua peruntukan, keperluan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Sementara itu, ditanya adakah kerajaan negeri akan turut memantau peruntukan RM100,000 yang dijanjikan untuk setiap ahli Parlimen, beliau berkata, mekanisme perbelanjaan untuk parlimen itu belum diperincikan.

“Saya ada bertanya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang berada di bawah kerajaan pusat, tetapi mereka belum dapat perincian mekanisme perbelanjaan, bagaimana duit itu dibelanjakan dan untuk kegunaan apa, cara bagaimana, itu akan diperincikan di peringkat perbendaharaan dan JPP.

“Selepas itu, barulah mereka memberi taklimat bagaimana cara, untuk apa, bagaimana dan seterusnya. Tapi secara umumnya, kita mengalu-alukannya kerana ia satu pendirian positif berkenaan rakyat,” katanya.

Sumber: KLIK DISINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...