Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) hari ini menyerbu
pejabat Malaysiakini di
Petaling Jaya dan merampas dua komputer.
Serbuan itu diketuai oleh timbalan pengarah unit penguatkuasaan
dan penyiasatan, Akmal Hamdy Baharudin, bersama pasukan enam anggota datang
dengan membawa waran geledah.
Ia adalah sebahagian daripada siasatan
SKMM berhubung dua laporan berita video yang dimuat naik oleh Kinitv, iaitu anak syarikat Malaysiakini.
Laporan dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu itu berkisar
mengenai di sidang
akhbar yang diadakan
oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Dalam laporan itu, Khairuddin membidas Peguam Negara Tan Sri
Mohamed Apandi Ali, dan menuntutnya meletak jawatan kerana enggan membuat
pendakwaan dalam kes 1MDB.
Sebelum ini, SKMM mengarahkan Kinitv mengeluarkan laporan berkenaan kerana
didakwa melanggar Akta Multimedia dan Komunikasi.
Menurut SKMM, video tersebut melanggar
Seksyen 233 akta berkenaan iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian
atau perkhidmatan rangkaian.
Kinitv kemudian bertindak memadamkan
perkataan 'haprak' yang digunakan oleh Khairuddin untuk menggambarkan AG.