Khamis, 25 Jun 2015

Bot pukat jerut haram rosakkan unjam nelayan

Gambar hiasan
DI PERAIRAN PULAU KAPAS DAN TEPIAN PANTAI MARANG JUGA TERDAPAT BOT FIBER YANG SAMA SEPERTIMANA YANG DIMAKSUDKAN.

KUALA TERENGGANU - Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan ke atas bot fiber pukat jerut haram yang menjalankan operasi waktu malam pada unjam yang dibina oleh kerajaan untuk nelayan pantai di Terengganu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan (PNKTS) Hasan Ismail berkata kini nelayan pantai sukar mencari makan kerana perbuatan tidak bertanggungjawab bot pukat cerut haram itu.

"Kalau macam itulah, kita percaya hasrat kerajaan membina unjam-unjam tersebut tidak mencapai matlamat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Hasan berkata bot pukat jerut berbuat demikian kerana ujam berkenaan dikatakan banyak didiami oleh spesies ikan bermutu tinggi seperti jemuduk, merah, cermin dan jenahak.
Menurut Hasan, perkara tersebut pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa di negeri ini, namun tiada sebarang perkembangan sehingga kini.

"Kita merayulah supaya pihak berkuasa memberi sedikit perhatian dalam perkara ini supaya nelayan-nelayan pantai dapat mencari makan," katanya.

Dalam perkembangan lain Hasan berkata kini, pendaratan ikan terutamanya di Kuala Terengganu didapati berkurangan kira-kira 50 peratus sejak awal bulan puasa.

"Di Kompleks Pendaratan Ikan Pulau Kambing di sini, biasanya 20 hingga 30 buah bot mendaratkan ikan setiap hari tetapi sekarang, cuma tujuh atau lapan buah sahaja," katanya menambah harga ikan akan meningkat secara tidak langsung berikutan kekurangan pendaratan ikan itu. - Bernama
d1'>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...