KUALA LUMPUR, 1 Mei : Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan akur dan
menerima arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Razak yang mahu isu
mengenai kad tambah nilai prabayar dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (KKMM).
Menurut beliau, penjelasan mengenai perkara berkenaan
perlu diselesaikan segera antara syarikat telekomunikasi, Menteri KKMM dan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Jelas Ahmad lagi, beliau sedia untuk membantu dalam
menyelesaikan isu berkenaan kerana keputusan Kabinet pada 3 April lalu adalah
kad tambah nilai berkenaan kembali kepada harga asal sebelum pelaksanaan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Tidak pernah walau sekali saya sebut tambah nilai
prabayar tiada GST dalam 18 bulan penerangan di pelbagai tempat tapi ada juga
akhbar yang silap petik.
“Saya sebut dari dulu lagi yang tambah nilai itu ada
cukai jualan dan perkhidmatan enam peratus dan diganti dengan GST maka harga
tidak berubah. Tolak SST dan campur GST maka harga sama,” katanya menerusi
laman Twitternya, hari ini.
Terdahulu, Najib mengarahkan Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek untuk mengendalikan mengenai isu berkenaan.
Keputusan Perdana Menteri tersebut dilihat dibuat
selepas berlakunya percanggahan antara Ahmad Shabery dan Timbalan Menteri
Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berhubung perkara tersebut.
Mengulas mengenai arahan tersebut, Ahmad Shabery
menerimanya dengan hati yang terbuka.
Jelas Ahmad Shabery, beliau akan berjumpa dengan semua
pihak untuk mendapatkan yang terbaik bagi rakyat dan negara.