Ahad, 20 Mei 2018

TIDAK DAPAT PEMBELAAN DI DUNIA, KAMI AKAN TUNTUT DI AKHIRAT


BALU USTAZ IBRAHIM MAHMUD (IBRAHIM LIBYA) terkejut dengan berita pencalonan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya digulingkan.

Soleha Husin, 65, berkata, beliau tidak sangka individu yang menyebabkan kematian penduduk Kampung Memali di Baling Kedah dan beberapa anggota polis dijadikan SEBAGAI SANDARAN PAKATAN HARAPAN untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

"Sejarah Mahathir selaku Perdana Menteri amat teruk dan kini dicalonkan semula untuk menjadi Perdana Menteri.

"Mana mungkin 'pembunuh' boleh jadi Perdana Menteri...saya sangat terkejut dan rasa benci dengan Mahathir selepas apa yang berlaku kepada saya sekeluarga dan orang kampung.

"Sepatutnya rakyat janganlah terpedaya dengan lakonan Mahathir, janganlah sokong beliau. Apa yang sudah dilakukannya tidak dapat ditebus dengan perkataan maaf. BAGI SAYA, TIADA MAAF BAGI MU," katanya dipetik Berita Harian.

Ibrahim Libya antara 18 korban tragedi berdarah di Kampung Memali termasuk empat anggota polis.

Kata Solehah, walaupun tragedi pada tahun 1985 itu sudah lebih 30 tahun berlalu, KEBENCIANNYA TERHADAP DR MAHATHIR TIDAK PERNAH PUDAR kerana menjadi punca kepada kematian suaminya.

Tegasnya, beliau tidak pernah berhenti mengharapkan pembelaan ke atas semua mangsa tragedi yang dituduh sebagai pengganas yang mahu menumbangkan kerajaan.

"Secara jujur, SAYA TIDAK AKAN MEMAAFKAN Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika insiden Memali).

"Saya pasti, perkara sama juga dirasai semua mangsa yang kehilangan keluarga, termasuk yang tercedera."

Tambahnya, harapan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat tregadi Memali juga akan terkubur sekiranya Dr Mahathir kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri. Katanya, jika diadakan sekalipun ianya pasti tidak telus.

"Jika Mahathir mahu memohon maaf dan datang sendiri ke Memali pun saya tidak akan benarkan beliau masuk ke rumah, apatah lagi bersemuka," ujar Solehah. 

Turut berkongsi kisah berdarah tersebut, mangsa yang 'merasai' sendiri peluru polis, Abdullah Che Soh, 71, juga sependapat dengan Solehah - tidak setuju dengan Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri semula.

Beliau yang terselamat selepas terkena 7 das tembakan polis menegaskan seringkali teringat akan kekejaman Dr Mahathir di Kampung Memali setiap kali melihat parut pada tubuhnya.  "Kesan tembakan iaitu empat di tangan, tiga di dada dan satu di pinggang membuatkan saya mahukan pembelaan.

"Bayangkan, saya terpaksa dirawat di Hospital Alor Setar dengan kedua-dua tangan digari pada katil, selain di lokap selama sebulan dan ditahan secara tidak sah selama lima bulan di Penjara Kamunting, Perak.

"Hanya melalui RCI kebenaran boleh terungkai. Jika saya dan mangsa TIDAK DAPAT PEMBELAAN DI DUNIA, KAMI AKAN TUNTUT DI AKHIRAT," katanya.

Sumber: KLIK DISINI

Sabtu, 19 Mei 2018

DR SAM BAWA PENDEKATAN SENDIRI DI TERENGGANU


KETEGASAN MELULU dalam pentadbiran sesebuah kerajaan bukan lagi menjadi budaya politik yang harus diikuti masa kini.
Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang perlu ialah AMALAN BUDAYA POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Samsuri berkata pendekatan tersebut perlu diambil sebagai iktibar sejarah kegagalan pentadbiran PAS di Terengganu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-10 lalu.
Ketika itu PAS hanya sempat mentadbir Terenganu selama satu penggal.
"PRU 1999 dengan PRU 2018 yang baru kita hadapi ini jauh berbeza.
"Jadi, untuk mengambil itu adalah suasana yang akan berlaku (dalam pentadbiran hari ini) tidak betul kerana sekarang ini kami mengamalkan politik yang lain," katanya ketika ditemui di Rusila, Marang, Terengganu, baru-baru ini.
Menyedari situasi sekarang berbeza Ahmad Samsuri berkata pendekatan politik matang dan sejahtera akan diteruskan termasuk semasa menguruskan negeri.

Khamis, 17 Mei 2018

ANWAR VERSI UMNO LAMA?

MAHU RAMPAS KELANTAN DAN TERENGGANU, ini kata-kata Anwar Ibrahim di pentas pertama di himpunan 16 Mei selepas diberi pengampunan penuh oleh Istana Negara berkaitan kes liwat pembantunya, Saiful Bukharui Azlan.
KATA-KATA ANGKUH ini sebaik bebas dari tirai besi, sedikit pun tidak melihat sejarah silam bila aibnya dijaja Tun Dr Mahathir Mohammad era reformasi.

Benar beliau maafkan Mahathir hatta Najib tanpa dendam dalam aib kes liwat, ini suatu sifat mulia, tetapi apakah dosa PAS yang dapat suara majoriti rakyat di Terengganu dan Kelantan hingga tiba-tiba ayat kesumat versi Umno lama terungkap di mulut bekas Timbalan Presiden Umno ini?
Apakah ini tarbiyah dalam tirai besi versi pembebasan di era Tun Mahathir menjadikan Anwar kembali menjadi angkuh menjarah dendam politik tatkala rakyat amat berharap Umno versi lama tidak masuk menjiwai PH.
Nampak gayanya, belum pun penat bersemayam di tirai besi berlabuh, dia memenatkan rakyat yang dahulu turun jalan raya, meletak badan sebagai perisai, darah, luka, dihumban ke black maria, di lock up, malah ada yang hilang kerjaya kerana membela aibnya, kini dia bersama sang penguasa yang berjaya mengaibnya semusim reformasi dahulu.
Suara Anwar kembali garang menelan ganas bara kuasa, wajahnya terpampang bersama diktator tua yang dahulu memenjaranya.
Dia lupa, kenyataannya itu bagaikan singa lapar yang pulang ke kandang asalnya yang bernama Umno versi lama.
Suatu masa lalu, dia pernah menghentam rapat Mahathir dan Najib, dia duduk di pentas PAS mencari rakan pembela.
Ya benarlah ijtihad Tuan Guru Abdul Hadi Awang, putus dengan PKR ini satu yang tepat, kerana kita semua dapat melihat sifat sebenar pengemudi PKR yang kini bersama sang penguasa menafi suara demokrasi rakyat di Pantai Timur. Maka tiada bezanya kerajaan PH yang ada dengan versi Umno lama. – HARAKAHDAILY 17/5/2018


Selasa, 15 Mei 2018

'JADIKAN AL-QURAN, RASULULLAH SAW SEBAGAI PANDUAN'


BEKERJALAH BERSAMA KAMI, BUKAN BEKERJA UNTUK KAMI," itu amanat Menteri Besar Terengganu yang baharu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berucap di hadapan lebih 500 kakitangan Wisma Darul Iman.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, semua pihak menggalas tanggungjawab untuk membawa Terengganu ke era baharu menuju Maju, Berkat dan Sejahtera.
"Prinsip dan dasarnya adalah menjadikan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai asas membina pelan induk negeri ke arah yang cemerlang seterusnya menjadi contoh negeri yang maju berkat dan sejahtera.
"Matlamat kita adalah besar, membawa agenda pelan Induk Terengganu Sejahtera yang bermatlamat berpandukan slogan, MAJU, BERKAT DAN SEJAHTERA merangkumi semua aspek," katanya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri menunaikan solat hajat bersama lebih 500 kakitangan Wisma Darul Iman.
Beliau bersama barisan exco yang lain mempunyai sasaran untuk menjadikan Terengganu sebagai Pusat Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, Hub Pendidikan Islam Antarabangsa, Hub Industri Produk dan Makanan Laut Serantau, Hub Industri Batik Dunia serta Hub Industri Pembangunan dan Pembaikpulih Kapal Negara.
"Kita juga mahu menjadikan negeri ini sebagai Hub Pembangunan Sumber Manusia bagi Industri Minyak dan Gas, Hub Industri Galian Negara, Hub Industri Pembekalan Air, Pembangunan bersepadu dengan jaringan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi rantaian nilai lengkap.
"Justeru, saya mengajak semua pihak untuk BERGANDING BAHU MEMBINA DAN MEMBANGUNKAN NEGERI INI yang mana peranan pembuat dasar, enjin pelaksana strategi, pimpinan pentadbiran kerajaan negeri, seluruh jentera kerajaan serta rakyat adalah sama penting dan mempunyai peranan masing-masing," katanya.

Sumber: KLIK DISINI

Isnin, 14 Mei 2018

PEMUDA PAS PANTAU JANJI MANIFESTO PH


MARANG: Kestabilan politik kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS Kelantan dan Terengganu, menjadikan negeri itu lebih awal berlaku pembentukan kerajaannya.

Namun, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhamad Khalil Abdul Hadi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.

Katanya, ucapan tahniah juga kepada kerajaan negeri lain yang selesai majlis angkat sumpah serta pelantikan Menteri Besar masing-masing.

"Alhamdulillah, negeri pertama yang selesai menubuhkan kerajaan baharu selepas PRU14 ini, Kelantan dan NEGERI PERTAMA YANG MEMBENTUK KABINETNYA TERENGGANU DAN KELANTAN.

"Ini menunjukkan kestabilan politik kerajaan di negeri yang kita (PAS) kuasai," ujarnya dalam satu Sidang Media Pemuda PAS Malaysia di Pejabat Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila, di sini tadi.

Menurutnya, pada PRU14 lalu PAS mendapat undi popular seluruh negara yang jauh lebih banyak dari sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, mahukan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) menghormati Perlembagaan Negara. 

"Kita (PAS) mahu Pakatan Harapan (PH) yang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara ini menghormati Perlembagaan Negara, yang meletakkan Islam sebagai agama (rasmi) negara. Raja-raja, hak-hak (keistimewaan) orang Melayu, bahasa Melayu, dalam masa yang sama menghormati bangsa dan kaum lain. 

"Kita mahu asas dalam Perlembagaan itu ialah semangat federalisma mestilah ditunai dan tidak diulang kesilapan lalu dibuat oleh Umno-Barisan Nasional dahulu," tegasnya. 

Dalam konteks ini, kata Muhammad Khalil, Pemuda PAS juga akan MEMANTAU JANJI-JANJI MANIFESTO PILIHAN RAYA PAKATAN HARAPAN.

Antaranya jelas beliau, hubungan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam isu mendapatkan hak royalti petroleum di Kelantan dan Terengganu.

"Dalam konteks ini, isu royalti (petroleum) bagi Kelantan dan Terengganu merupakan negeri yang mempunyai petroleum dan mestilah dihormati dengan apa yang ditetapkan dalam Perlembagaan Negara. 

"Kerajaan Terengganu khususnya menuntut hak royalti yang ditarik balik ketika PAS memerintah Terengganu (1999-2004) oleh kerajaan Umno-BN," jelasnya yang ditemani Timbalan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin. -HARAKAHDAILY 13/5/2018


Khamis, 10 Mei 2018

MENTERI BESAR DAN EXCO ANGKAT SUMPAH


KUALA TERENGGANU: Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing, pada jam 9.00 malam ini DI ISTANA SYARQIYYAH, BUKIT CHENDERING, di sini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang berkata, pihak PAS Terengganu telah mendapat perkenan mengadap baginda Sultan Terengganu pada malam ini.

"Pagi tadi kami telah pun mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin), untuk mendapat tarikh dan masa bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

"Majlis mengangkat sumpah (jawatan) Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan Negeri itu akan diadakan pada malam ini di Istana Syarqiyyah,  pada jam 9.00 malam," ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Manakala katanya, setelah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Terengganu, pemimpin baharu kerajaan itu akan mula memasuki bangunan pentadbiran Wisma Darul Iman pada 14 Mei 2018.

"Kami (PAS) akan adakan solat hajat dan majlis penyerahan tugas daripada bekas Menteri Besar (Dato' Seri Ahmad Razif) kepada Menteri Besar yang baharu, InsyaAllah. 

"Kita mahu mengambil-alih tugas dalam suasana tertib dan berakhlak serta penuh mesra," jelasnya. 

Menurut, Dato' Husain bagi menyelaraskan dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan, maka diumumkan pada hari Ahad nanti bersamaan 13 Mei 2018 sebagai cuti umum di Terengganu," ujarnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid. -HARAKAHDAILY 10/5/2018


PAS AKAN UMUM MENTERI BESAR TERENGGANU


MARANG: PAS menyerahkan kepada pihak istana untuk menghadap Sultan Terengganu setelah berjaya menguasai semula Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 ini.
“Itu akan atur, insya Allah, itu terpulang kepada pihak Tuanku, pihak istana,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media di Dewan Tok Guru, Rusila sebentar tadi.
Berhubung dengan calon Menteri Besar, beliau berkata ia akan diumumkan kemudian.
“Itu ada dalam fikiran kami, akan diumumkan kemudian,” katanya lagi.
Mengenai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), beliau berkata ia akan dipertimbangkan mengikut latar belakang calon PAS yang menang kerusi Dun pada PRU14.
Ini, katanya kerana mereka terdiri daripada kalangan AGAMAWAN, PROFESIONAL DAN RAKYAT.
“Oleh kerana calon kita terdiri daripada berbagai kalangan, termasuk agamawan, professional dan rakyat, Exco akan ditimbang mengikut peranan yang munasabah,” jelasnya.
Semasa berucap sebelum itu, beliau menyeru ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya bersyukur di atas KEMENANGAN YANG DIKURNIAKAN OLEH ALLAH itu.
Beliau bagi pihak PAS juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah membuat liputan sepanjang kempen PRU14.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Husain Awang berkata, PAS Berjaya menguasai semula negeri ini setelah MEMENANGI 21 DARIPADA 32 KERUSI DUN pada PRU14.
Beliau mengumumkan kerusi-kerusi Dun yang dimenangi iaitu Kota Putera, Jabi, Tepoh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Alur Limbat, Bukit Payong, Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Manir, Kuala Berang, Rantau Abang, Sura, Paka, Kemasik, Cukai dan Air Putih.
Bagaimanapun, jelas pihak PAS negeri sedang menunggu keputusan perjumlahan undi bagi kerusi Dun Bukit Besi dan pengiraan semula bagi kerusi Dun Ajil.
Menurutnya, jika PAS Berjaya memenangi dua kerusi Dun itu atau salah satu daripadanya bermakna PAS mencapai kemenangan mutlak iaitu majoriti 2/3 daripada kerusi Dun. – HARAKAHDAILY 10/5/2018

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...