Khamis, 26 Julai 2012

JKKK diminta agih kurma dari rumah ke rumah


Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diminta mengagihkan kurma dan air zam zam dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penduduk beragama Islam menerima bekalan tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan memastikan semua penduduk beragama Islam berpeluang menikmati buah kurma dan air zam-zam yang diberi secara percuma oleh kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Katanya, pihaknya tidak mahu lagi menerima aduan mengenai ada penduduk yang tidak menerima makanan istimewa tersebut disebabkan kelalaian JKKK.


“Seperti tahun sebelum ini, ada penduduk yang mendapat bekalan lebih daripada sepatutnya manakala sesetengah penduduk tidak menerima langsung bekalan yang disediakan kerajaan.

“Kita seboleh-bolehya mahu pemimpin setempat mengagihkan sendiri makanan istimewa itu dari rumah ke rumah kerana menyedari mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pemimpin setempat,” katanya.

Seorang penduduk dari Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, Awi Nik, 70, berkata keluarganya yang belum lagi menerima hadiah istimewa dari Menteri Besar itu yakin akan dapat dalam tempoh terdekat dari Pengerusi JKKK.

Katanya, dia bagaikan tidak sabar untuk menerima dan merasainya kerana yakin kurma yang diagihkan itu sedap dan berkualiti.

“Saya berharap agihan kurma dan air zam-zam ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana mampu memberi pengertian yang cukup besar kepada penduduk,” katanya.

Rabu, 25 Julai 2012

Sampel Makanan Di Bazar Ramadan Terengganu Diambil Untuk Pemeriksaan



KUALA TERENGGANU, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mula mengambil sampel makanan yang dijual di 2,900 gerai bazar Ramadan di seluruh bandar ini bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Sampel yang diambil adalah secara rawak dengan tumpuan diberi kepada makanan yang berisiko terdedah kepada pencemaran bakteria, antaranya makanan yang perlu dikendali dengan tangan secara terus, makanan yang menggunakan santan atau makanan yang tidak perlu dimasak seperti kerabu.

PENGAGIHAN DANA BAKTI REMAJA 2012 FASA TERAKHIR DUN RHU RENDANG


Marang 24/07/2012 - Program Pengagihan Dana Bakti Remaja 2012 DUN Rhu Rendang masuk ke fasa terakhir bagi tahun ini berlangsung di Dewan Utama Majlis Daerah Marang pada hari ini dengan melibatkan 1,201 orang penerimanya.

Program pengagihan disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku, bermula jam 9.00 pagi bagi peti undi Pulau Kerengga, Beris Gong, Kuala Tengah, Medan Jaya dan Medan Jaya 1 melibatkan 533 penerima. Manakala disebelah petangnya pula bermula jam 2.30 petang bagi peti undi Kijing, Paya, Rhu Rendang dan Rhu Rendang Pantai, melibatkan seramai 668 orang penerima.

Selasa, 24 Julai 2012

GOLONGAN REMAJA TIDAK DILUPAKAN


Rhu Rendang 23/07/2012 - Pengagihan Dana Bakti Remaja peringkat DUN Rhu Rendang masih lagi diteruskan bagi peti undi RAKR Desa Permai, Bukit Gasing, Rusila, Taman Bukit Indah dan Taman Rashidah dengan melibatkan sejumlah 514 orang remaja. Majlis diadakan disebelah paginya bermula jam 9.00 di Dewan Utama Majlis Daerah Marang.

Manakala disebelah petangnya pula penagihan Dana Bakti Remaja bagi peti undi Bandar Marang, Alor Pak Pang, Sg. Kerak, Sentol Patah, Gong Nangka dan Tertak Batu dengan melibatkan seramai 544 orang remaja.

Majlis telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku, yang turut hadir Pengerusi APMT Parlimen Marang, En. Anuar Yahya,  Penghulu Mukim Pulau Kerengga, Penghulu Mukim Bandar Marang serta Ketua/Timbalan Pemuda DUN Rhu Rendang.

Isnin, 23 Julai 2012

Rakyat Terengganu dapat Dana Raya


Golongan berpendapatan rendah di negeri ini bakal menerima Dana Raya daripada kerajaan negeri pada minggu depan.

Pemberian dana tersebut merupakan program tahunan kerajaan negeri bagi membantu golongan berkenaan membuat persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri, termasuk membeli pakaian anak-anak.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sempena Aidilfitri tahun ini seramai 170,000 keluarga akan diberikan Dana Raya yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan RM50 juta.

Melalui program itu, setiap keluarga akan mendapat habuan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada bilangan anggota keluarga.

Mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima bantuan tersebut.

“Bantuan ini akan mula diagih kepada keluarga yang layak mulai minggu kedua bulan Ramadan. Pada masa ini kerajaan negeri sedang mengatur bayaran bagi golongan belia yang layak menerima bantuan melalui Program Dana Bakti Remaja,” katanya kepada wartawan petang semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pemberian tersebut menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

“Kita harap rakyat, khususnya mereka yang menerima bantuan tersebut bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah banyak berjasa kepada mereka,” katanya.

Ahad, 22 Julai 2012

Pas derhaka titah sultan


Pemimpin dan penyokong Pas tidak menghormati titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahukan isu dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan dengan segera kerana ia memecah-belah umat Islam di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pemimpin dan ahli Pas yang bertanggungjawab memulakan perkara itu dan mereka sepatutnya yang menghentikan kegiatan tersebut.


“Selagi ahli Pas sembahyang Jumaat di tempat berasingan daripada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, selagi itu isu ini tidak boleh selesai.

“Manakala pemimpin Pas pula tidak melarang ahli-ahli Pas dan penyokong mereka solat Jumaat di tempat yang tidak diwartakan oleh pihak berkuasa, jadi kegiatan ini terus berlaku di negeri ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Mizan sebelum ini supaya kegiatan dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan bagi menyatupadukan umat Islam yang berpecah akibat isu tersebut.

Secara tidak langsung, kata YB Ustaz Haji Muhammad Ramli pemimpin dan penyokong Pas derhaka kepada Tuanku Sultan Mizan kerana tidak mengambil berat teguran baginda.

Sumber:teganukita

Sabtu, 21 Julai 2012

Penduduk Marang persoal tindakan AmBank tutup cawangan


MARANG 18 Julai - Penduduk di sekitar bandar ini terutamanya pelanggan AmBank berharap pihak pengurusan bank itu tidak akan menutup operasi cawangannya kerana ia banyak memberi kesulitan kepada mereka.

Bagi mereka, institusi perbankan itu tidak harus mementingkan keuntungan semata-mata dan meminta ia terus dikekalkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial bagi memberikan kemudahan dalam pelbagai bentuk perkhidmatan.

Walaupun hanya sebagai sebuah bank cawangan, tetapi banyak perkhidmatan yang ditawarkan dan mereka berpendapat ia sepatutnya dipertingkatkan dan bukannya ditutup.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati notis pemberitahuan mengenai penutupan cawangan bank tersebut berkuat kuasa mulai 29 September depan ditampal di pintu masuk dan segala urusan serta perkhidmatan yang berkaitan akan dipindahkan di AmBank Kuala Terengganu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...