Rabu, 11 Julai 2012

Had kedatangan pelancong ke pulau


Kerajaan negeri akan mengehadkan kedatangan pelancong dan muatan barangan ke beberapa pulau peranginan tersohor di Terengganu dalam usaha memulihara alam semula jadi demi manfaat generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti beberapa aspek keperluannya sebelum ia boleh dilaksanakan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengkaji kemungkinan mengehadkan barangan mengikut jumlah jam pengunjung berada di pulau-pulau berkenaan bagi menikmati alam semula jadi.


“Pendekatan kita pada peringkat awal ini adalah untuk memikirkan berapa jam dibenarkan berada di pulau dengan bermalam di tanah besar.

“Mungkin kita akan menyediakan pakej tiga hari satu malam iaitu dua hari di tanah besar dan satu hari di pulau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tahunan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 300 pelajar dan ahli akademik termasuk 35 orang dari lapan negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Libya, Iran, Pakistan, India dan Perancis menyertai simposium tiga hari dan berakhir esok (11Julai) itu.

Selasa, 10 Julai 2012

Program Shap di setiap pusat daerah mengundi


Badan Perhubungan Umno Terengganu kini memberi tumpuan kepada program 'Setiap Hari Ada Program' (Shap) yang dijalankan di semua pusat daerah mengundi di seluruh negeri, bermula 1 Julai lalu, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata bagi menjayakan program itu, setiap pusat daerah mengundi mempunyai jawatankuasanya sendiri.

“Shap adalah lanjutan daripada Program Juara Rakyat, Majlis Penerangan Perdana, Seminar Wasatiyyah & 1Malaysia, Tinjauan Mesra Penerangan dan pelbagai kursus yang telah dijalankan.


"Program ini dijalankan secara bersepadu melibatkan perbagai pihak, termasuk jentera dan penerangan bahagian Umno sehingga menjelang PRU Ke 13,” katanya.

Menurutnya, dia yakin semua jawatankuasa di 342 pusat daerah mengundi di seluruh Terengganu komited dan serius melaksanakan program ini kerana mahu melihat Barisan Nasional menang besar pada pilihan raya akan datang.

“Pelbagai aktiviti boleh dirancang melalui Shap bagi mendekatkan pemimpin setempat bersama rakyat, mengerakkan jentera parti dan merapatkan hubungan rakyat bersama Umno.

“Antara aktiviti itu adalah sukaneka, kejohanan bola sepak dan futsal, sukan rakyat, melawat orang uzur, menziarahi pesakit di hospital dan gotong royong,” katanya.

Sumber:teganukita

Isnin, 9 Julai 2012

Jelajah janji ditepati: Minum lima minit, masalah 10 tahun selesai...



Jelajah Janji Ditepati Selangor ini bermula awal pagi lagi, apabila PM bersarapan dan mendengar aduan dari penduduk Bangi di Pasar Awam Seksyen 1, Bandar Baru Bangi. Perdana Menteri yang tiba tepat jam 9.00 pagi meluangkan masa kira-kira satu jam setengah mendengar permasalahan rakyat.

Acara santai mengadu sambil menikmati makan pagi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya memang berkesan, ramai yang beratur panjang untuk bertemu dengan Najib.

Apa yang menarik adalah, Najib bukan sahaja mendengar bahkan cuba menyelesaikan masalah tersebut di situ juga.

Kes E. Yellappan dan isterinya N Ranee (gambar bawah) adalah contoh jelas, N Ranee, 53, cacat anggota dan sudah disitiharkan tidak boleh bekerja sejak 10 tahun lepas, namun beliau menghadapi masalah untuk mengeluarkan caruman Perkesonya, semua dokumen lengkap tetapi kerenah birokrasi menyukarkan beliau.

Ahad, 8 Julai 2012

Kerajaan negeri sokong penganjuran TIIAF 2012


Kerajaan negeri sentiasa aktif dan fokus dalam memajukan pelbagai sektor terutama yang mampu memberi faedah secara kepada rakyat dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata atas faktor itu, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap penganjuran `Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2012’ kerana menyedari ia akan memberi pulangan jangka panjang kepada pelbagai pihak.

“Hasil yang bakal diperoleh bukan hanya sekadar membawa pulang dari segi eknomi semata-mata, bahkan mampu menyumbang kepada penyuburan dan pembangunan modal insan negeri,” katanya ketika mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan Majlis Pelancaran Awal TIIAF, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Induk TIIAF yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Sabtu, 7 Julai 2012

RAKYAT TERENGGANU SEMAKIN RAMAI MENGIDAP KENCING MANIS 'DIABETES'


KUALA MENJING - Kencing manis ataupun Diabetis dikenal pasti antara penyakit yang menunjukkan graf peningkatan jumlah pesakit baru hampir saban tahun bagi negeri ini, dan pastinya ia satu perkara yang membimbangkan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Anwa Sulaiman berkata, ia terbukti apabila jumlah pesakit baru didaftarkan sepanjang tahun lepas seramai 3,752 orang, manakala sehingga Mei tahun ini, jumlahnya sudah menjangkau 2,359 pesakit.

“Statistik juga menunjukkan peningkatan bagi pesakit baru. Berdasarkan rekod 2007, jumlah pesakit diabetes baru didaftarkan sepanjang tahun ialah 2,092 orang, manakala pada tahun lepas seramai 3,752 orang.

“Jika dibuat perbandingan, bermakna bagi tempoh lima tahun terdapat lebih 1,000 individu menghidap penyakit ini. Malah dijangka ia akan terus meningkat jika tiada langkah awal diambil orang ramai untuk mencegah daripada menghidap diabetes," katanya.

Menurutnya, corak kehidupan dan aspek pemakanan adalah faktor utama penyebab diabetes.

Lawatan sehari PM ke Terengganu 13 Julai ini


Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka mengadakan lawatan sehari ke Terengganu, pada 13 Julai (Jumaat) ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, beberapa acara akan mengisi program pemimpin utama negara itu termasuk solat jumaat di Masjid Bukit Payong, Marang, sebelum menyertai jamuan rakyat bersama seluruh penduduk tempatan di Padang Bola, Bukit Payong.

Katanya, program kemudiannya disusuli dengan perjumpaan dengan Rela seluruh Terengganu di Stadium Tertutup, Kuala Terengganu yang dijangka akan dihadiri kira-kira 20,000 orang.

"Selesai acara di Stadium Tertutup, Dato’ Sri Mohd Najib akan menemui jentera peti undi seluruh Terengganu yang diadakan di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

“Lawatan beliau dalam tempoh seminggu dari sekarang dan ini maklumat terbaru yang saya terima," katanya di Alor Limbat, Marang, semalam (5 Julai).

Menurut Dato' Yahya lagi, kunjungan Perdana Menteri ke Bukit Payong sebagai hadiah kepada penduduk di Dun berkenaan memandangkan Umno Terengganu mensasarkan mampu memenangi (Pilihan Raya Umum ke-13) di kawasan itu nanti.

Jumaat, 6 Julai 2012

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu jadi agen tranformasi



Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap daerah sewajarnya bertindak sebagai agen tranformasi supaya ahli-ahli peladang di negeri bijak dan berani mencuba perkara baru.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), Wan Zakaria Abdul Rahman, berkata mereka sewajarnya terlibat secara langsung dalam membangunkan projek-projek pertanian berskala besar dan komersial.

Katanya, pada masa sama, PPK perlu memantapkan dan memperkukuhkan rantaian nilaian pengeluaran hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani dan ahli peladang sama ada secara individu atau berkelompok.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...