Rabu, 5 Februari 2020

#NIAT JAHAT: MAHATHIR TERDESAK UNTUK KEKALKAN KUASA, SANGGUP BERUNDING DENGAN SESIAPA


MAHATHIR TIDAK AKAN TURUN SEBAGAI PERDANA MENTERI HANYA KERANA DIA TELAH BERJANJI.

Selama ini dia memang TERKENAL SEBAGAI SEORANG PEMUNGKIR JANJI.

Mahathir memerlukan sebab yang munasabah dan kukuh untuk tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar dan menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri ke-8.

Anwar juga memerlukan sebab yang kukuh untuk menendang Mahathir turun dari jawatan Perdana Menteri.

Tanpa sebab yang kukuh, rata-rata akar umbi PH dan rakyat tidak akan menyokong sesiapa dari mereka yang menendang seorang lagi keluar tanpa sebab yang munasabah.

Jika seorang dari mereka buat juga dan langgar seorang lagi tanpa sebab yang kukuh, maka siapa yang memulakan langkah tersebut akan dianggap sebagai pengkhianat, dan ia akan memberikan sebab dan justifikasi moral yang kuat kepada yang seorang lagi untuk mengambil tindakan balas dan menjatuhkan lawannya.

Contohnya, sekiranya Mahathir dilihat mengorak langkah (atau ada ura-ura) untuk bekerjasama dengan UMNO dan PAS untuk membentuk kerajaan baru tanpa Anwar, DAP dan PAN, maka Anwar akan mendapat sokongan daripada DAP dan PAN dalam kerajaan dan dalam Majlis Presiden PH.

Dan apabila Mahathir dilihat mengorak langkah terbuka untuk menendang Anwar, maka Anwar juga akan mendapat simpati daripada akar umbi PH dan PKR, dan dia (Anwar) akan memperoleh sebab yang kukuh dan sokongan yang kuat untuk menentang dan menjatuhkan Mahathir sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri.

Dalam PH, MAJLIS PRESIDEN YANG AKAN MENENTUKAN PERDANA MENTERI, bukan berdasarkan jumlah Ahli Parlimen setiap parti komponen di Dewan Rakyat seperti dalam BN.

Oleh itu, sebelum apa-apa petisyen dibuat sama ada melalui undi tidak percaya di Parlimen atau sebagainya, Mahathir dan Anwar perlu melalui Majlis Presiden PH dahulu untuk mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika Anwar mendapat sokongan DAP dan PAN dalam Majlis Presiden, maka Anwar akan mendapat sekurang-kurangnya 15 undi daripada 22 orang ahli dalam Majlis Presiden PH.

Dengan ini Anwar akan dipilih menjadi Perdana Menteri ke-8 yang baru dalam Kerajaan PH.

Jika Mahathir dan partinya Bersatu tidak berpuas hati dengan keputusan Majlis Presiden ini, maka langkah seterusnya adalah dia dan partinya dan KUMPULAN AZMIN dalam PKR boleh memilih untuk engkar keputusan Majlis Presiden PH lantas keluar daripada PH dan menyertai gabungan parti-parti pembangkang iaitu Barisan Nasional, PAS, GPS dan lain-lain.

Sekiranya gabungan pembangkang ini mempunyai cukup majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, mereka boleh memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru dengan Perdana Menteri yang baru.

Mahathir dan partinya Bersatu mempunyai 26 orang Ahli Parlimen.

Azmin dikatakan kononnya boleh membawa 15 orang Ahli Parlimen PKR termasuk dirinya.

PAS telah menyatakan sokongan terbuka kepada Mahathir dengan 18 orang Ahli Parlimen.

Ini menjadikan sokongan dalam tangan sedia ada kepada Mahathir di Parlimen sebanyak 59 orang Ahli Parlimen.

Anwar pula mempunyai 35 orang Ahli Parlimen PKR yang menyokongnya kini.

Jika DAP dan PAN menyokongnya, dia akan mendapat sokongan tambahan sebanyak 53 orang Ahli Parlimen yang menjadikan jumlah sokongan kepadanya berjumlah 88 orang Ahli Parlimen.

Untuk membentuk kerajaan yang baru dan membubarkan Kerajaan PH dan menolak Anwar, Mahathir memerlukan sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) seramai 19 orang Ahli Parlimen, dan Warisan serta UPKO Sabah seramai 10 orang Ahli Parlimen.

Jika mereka (GPS, Warisan dan UPKO) menyokong Mahathir, maka kekuatan Mahathir adalah 88 orang Ahli Parlimen, sama seperti Anwar, dan kedua-duanya sama-sama tidak cukup jumlah Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Dalam situasi ini, untuk membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri, Mahathir dan Anwar kedua-duanya memerlukan tambahan 24 orang Ahli Parlimen daripada 46 Ahli Parlimen yang tinggal untuk mencapai majoriti mudah sebanyak 112 daripada 222 orang Ahli Parlimen.

Daripada 46 orang Ahli Parlimen yang tinggal ini, 39 adalah daripada UMNO, dua dari MCA, satu MIC, satu PBS, satu PBRS, satu STAR dan satu Bebas.

Mereka-mereka ini akan menjadi penentu siapa yang akan membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri pintu belakang.

Jika dilihat keadaan di atas, sebenarnya SITUASI MAHATHIR KINI ADALAH LEBIH TERDESAK berbanding Anwar.

Kerana jika diperhalusi, terdapat banyak komplikasi jika Mahathir memilih untuk mengorak langkah kerajaan pintu belakang ini.

Untuk mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen GPS dan Warisan, Mahathir perlu memberi perhatian serius ke atas tuntutan-tuntutan mereka, sebagai contoh tuntutan tambahan royalti minyak dan gas untuk Sabah dan Sarawak.

Di kala harga minyak jatuh serendah USD 60 setong kini dan pendapatan kerajaan dan ekonomi yang merudum, adalah sukar untuk Mahathir menunaikan tuntutan ini.

Dan jika pun Mahathir berjaya mendapat kesemua 33 Ahli Parlimen GPS, Warisan, UPKO, STAR, PBS, PBRS dan Bebas, dia masih perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 20 orang Ahli Parlimen daripada UMNO dan Barisan Nasional.

Namun tidak semua Ahli Parlimen GPS dan Warisan menyokong Mahathir.

Dan Ahli-ahli Parlimen STAR, PBS dan PBRS besar kemungkinan tidak akan selesa berada dalam satu gabungan dengan Ahli-ahli Parlimen Warisan.

Dan tidak sampai separuh daripada Ahli Parlimen UMNO (dan akar umbi UMNO) yang menyokong Mahathir atau Anwar.

Rata-rata akar umbi UMNO tidak menyokong Mahathir atau Anwar, namun mahu BN kembali berkuasa secara bermaruah melalui pilihanraya berbanding melalui membentuk kerajaan dengan cara pintu belakang.

Sekiranya separuh Ahli Parlimen UMNO menyokong Mahathir dan separuh lagi menentang, UMNO akan berpecah dua SEBAGAIMANA MAHATHIR MEMECAHBELAHKAN PKR KEPADA DUA PUAK sebelum ini.

Mungkin ini sebenarnya yang Mahathir mahu dengan langkah muslihat ini.

Namun walaupun ini berlaku (UMNO berpecah), besar kemungkinan Mahathir masih tidak akan dapat cukup Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Jika dia keluar dari PH, belum tentu dia boleh membentuk kerajaan baru dan kekal sebagai Perdana Menteri.

Memandangkan DIA KINI SEDANG TERDESAK UNTUK MENGEKALKAN KUASANYA, sekiranya dia ingin berunding dengan sesiapa termasuk dengan GPS, Warisan atau UMNO dan Barisan Nasional, kepada parti-parti ini, langkah yang bijak ialah membiarkan dia (Mahathir) datang dengan membawa cadangannya kepada anda, pihak yang dia terdesak ingin mendapatkan sokongan, dan bukannya sebaliknya.

Anda tidak perlu pergi menghadap Mahathir seperti yang dia mahukan.

Anda boleh pertimbang untuk menerima atau menolak cadangannya apabila dia datang.

Namun JIKA DIA (MAHATHIR) MASIH EGO dan tidak mahu merendah diri walaupun di kala terdesak, maka ada satu lagi pilihan yang ada kepadanya: iaitu MEMBUBARKAN PARLIMEN dan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan tampok pemerintahan kerajaan.

Pilihan ini adalah yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Namun jika Mahathir masih ketegak untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang dan bukan melalui pembubaran Parlimen dan pilihanraya, kerajaan tersebut tidak akan bertahan lama.

Ini kerana rakyat akan menghukumnya (dan partinya) dalam pilihanraya akan datang.

Rakyat telah dan sedangpun menghukumnya dan partinya jika dilihat berdasarkan keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil kebelakangan ini.

Dengan memilih untuk MEMBENTUK KERAJAAN MELALUI PINTU BELAKANG UNTUK MENYELAMATKAN TENGKOKNYA, dia (Mahathir) akan MENGKHIANATI HAK RAKYAT untuk menentukan kerajaan melalui proses pilihanraya dalam sistem demokrasi dan memilih untuk mendahulukan kepentingan dirinya sendiri.

Saya TELAH MENGKAJI MAHATHIR SEJAK BERPULUH TAHUN. Semua langkah dan penulisan serta bukunya sejak dahulu kala saya telah baca, termasuk banyak buku yang ditulis berkenaannya.

MAHATHIR SEORANG YANG CERDIK WALAUPUN ZALIM.

Hakikatnya, Mahathir tentunya tahu bahawa dia menghadapi kesukaran untuk membentuk gabungan kerajaan baru melalui pintu belakang dan kekal menjadi Perdana Menteri jika dia meninggalkan PH dengan kekuatan sedia ada yang hanya berjumlah 59 orang Ahli Parlimen.

Sebab itu besar kemungkinan dia tidak akan mengorak langkah meninggalkan PH.

Dan dia juga tidak mahu membubarkan Parlimen jika ada pilihan lain.

MAHATHIR BUKANLAH SEORANG YANG BERPRINSIP.

Dia tidak kisah untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada DAP atau musuh ketatnya UNTUK MENGEKALKAN KUASA DAN KEPENTINGAN DIRINYA.

Adalah lebih mudah untuk dia (Mahathir) menjaga hanya 6 orang ahli Majlis Presiden PH dari DAP untuk mengekalkan kuasanya, daripada mengambil risiko dan berperang memanjat bukit untuk membentuk kerajaan baru.

SAYA TIDAK PERCAYA KEPADA MAHATHIR.
SAYA JUGA TIDAK PERCAYA KEPADA ANWAR.

Pada saya KEDUA-DUA MEREKA INI SEPATUTNYA SUDAH BERSARA.

Sebab MEREKA TELAH BANYAK MEMBAWA BENCANA KEPADA POLITIK DAN EKONOMI MALAYSIA selama ini.
Zaman mereka sudah berlalu dua puluh tahun yang dulu.

Mereka patut memberi peluang kepada pelapis baru untuk menerajui negara dengan idealisme-idealisme yang baru.

Saya juga banyak belajar politik daripada DATO' SERI NAJIB. POLITIKNYA HALUS DAN BIJAK, SETARAF DENGAN MAHATHIR TETAPI TIDAK ZALIM seperti Mahathir.

Salah satu perkara yang Dato' Seri Najib ajar saya ialah sesuatu langkah politik itu ada banyak lapisannya.

Kadangkala kita perlu baca sedalam lapisan ketujuh untuk mendapat gambaran yang sebenar, dan untuk mengelak daripada jerangkap samar.

ISHAM JALIL
4 Februari 2020

Rujukan: KLIK DISINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...