Sabtu, 17 November 2018

ICERD: JANGAN CONTENG ARANG KEPADA PERJUANGAN NENEK MOYANG


KUALA TERENGGANU 16 Nov. - Dewan Pemuda Pas negeri mengajak SELURUH RAKYAT BERSATU BANGKIT MENENTANG USAHA UNTUK MENGIKTIRAF RATIFIKASI KONVENSYEN ANTARABANGSA MENGENAI PENGHAPUSAN BENTUK DISKRIMINASI KAUM (ICERD) yang dianggap cubaan terbuka untuk menghakis kedudukan umat Islam di negara ini.

Ketuanya, Kamaruzaman Abdullah menyifatkan ia suatu permulaan yang jelas MENGHINA DAN TIDAK BOLEH LAGI DIBIARKAN agar tidak menconteng arang terhadap perjuangan nenek moyang.

Kamaruzaman berkata, ini harus menjadi landasan kebangkitan baharu dalam perjuangan yang akan menjadi penentu kepada hidup mati perjuangan Islam di Malaysia.

"Nenek moyang kita dahulu bangkit berjuang menentang Malayan Union jadi, tak kan anak cucu ulama, Abdul Rahman Limbong hendak menconteng arang kepada perjuangan nenek moyang.

"Kita kena ingat perjanjian ini sekiranya berlaku akan MENCABULI PERLEMBAGAAN NEGARA dalam Perkara 153 apabila secara halus akan digubal undang-undang lain. Tiada guna lagi kuasa raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika berucap dalam Himpunan Aman Bantah ICERD di pekarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini hari ini.

Himpunan yang diadakan sejurus selepas solat Jumaat itu turut disertai Ketua Pemuda Pas, Muhamad Khalil Abdul Hadi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terengganu termasuk Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis).

Kira-kira 5,000 peserta berhimpun sambil kedengaran laungan ‘TOLAK ICERD’ DAN ‘BUKAN TANGGUH'.

Dalam perkembangan sama, Kamaruzaman memberitahu, pihaknya akan terus menggerakkan usaha dari semasa ke semasa bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada umat Islam di negeri ini tentang ICERD.

Sehubungan itu, katanya seluruh umat Islam perlu mengetepikan fahaman politik sebaliknya bersatu bagi membentuk kekuatan dalam menentang sebarang usaha untuk menghakis hak istimewa dan kepentingan Melayu sebagaimana ICERD.

"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memberi mesej yang sangat jelas JANGAN DILANGGAR LAMPU MERAH, kita Pemuda Islam akan terus teguh dan sanggup mempertahankan agama suci ini, InsyaAllah," katanya.

Sementara itu, Himpunan Aman Bantah ICERD itu turut diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di pekarangan masjid negeri di Pahang dan di pekarangan Masjid Muhammadi di Kelantan.

Pada 4 November lalu, lebih 1,500 orang berhimpun secara aman di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang bertujuan menentang usaha mengiktiraf polisi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Himpunan yang digerakkan hasil inisiatif pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial dan parti politik itu turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Muhamad Khalil. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: KLIK DISINI


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...