Ahad, 30 Jun 2024

Polis siasat pemilik akaun media sosial fitnah Pemangku Sultan Johor


 JOHOR BAHRU: Polis Johor menjalankan siasatan terhadap pengendali atau pemilik akaun media sosial yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, ia susulan laporan polis yang dibuat terhadap hantaran media sosial terbabit di Balai Polis Penawar, Kota Tinggi jam 4.05 petang pada semalam.

Ia berkaitan dengan kenyataan ‘TMJ mengatakan pengarah AMLA SPRM-Xamfi meminta rasuah RM20 juta daripada Qatar Holdings (28 Januari 2023), hantaran dengan tajuk TMJ dah bersuara, takkan PMX masih senyap?

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, bahagian pendakwaan / undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan, orang ramai dinasihatkan menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua keadaan, sama ada membuat hantaran, menularkan, berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah atau palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kenyataan fitnah terhadap Tunku Mahkota Ismail kononnya baginda terbabit rasuah RM20 juta adalah hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.

Malah katanya dakwaan fitnah tular di aplikasi WhatsApp itu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

Fitnah itu antara lain menuduh Tunku Mahkota Ismail terbabit kes rasuah membabitkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

https://www.buletintv3.my/nasional/polis-siasat-pemilik-akaun-media-sosial-fitnah-pemangku-sultan-johor/?utm_source=WA-BuletinTV3&utm_medium=social&utm_campaign=WATraffic

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...