Sabtu, 21 Julai 2012

Sumbangan mampu terus aktifkan persatuan



“Tidak pernah sebelum ini persatuan kami memperoleh sumbangan sebanyak ini daripada mana-mana pihak walaupun mengetahui wang itu penting untuk kebajikan ahli dan pentadbiran.

“Kami tidak pernah meminta melainkan ada di kalangan ahli yang berkemampuan yang menghulurkannya supaya pertubuhan yang ditubuhkan lebih 24 tahun lalu terus aktif,” kata Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Ikan Melayu Kuala Terengganu, Md Tahar Abdullah.


Persatuan itu yang menerima sumbangan RM4,000 daripada kerajaan negeri berazam untuk terus menjaga kebajikan kira-kira 500 ahli, termasuk berkaitan khairat kematian, ahli uzur dan pinjaman modal.

Md Tahar ditemui Teganukita selepas Program NGO Dihatiku di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Jumaat, 20 Julai 2012

Umat Islam Di Malaysia Mula Berpuasa Sabtu Ini


KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Sabtu ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu ini, 21 Julai 2012, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Khamis.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Khamis, 19 Julai 2012

RM830,000 pengisian Ihya Ramadan


Kerajaan Terengganu menyalurkan peruntukkan sebanyak RM830,000 kepada masjid dan surau di negeri ini bagi merangsang pengisian program Ihya Ramadan tahun ini.

Peruntukkan itu disediakan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan diatur bagi mengimarahkan sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukkan tersebut diharap dapat mengukuhkan tabung masjid dan surau bagi membantu pentadbiran institusi berkenaan menyemarakkan kedatangan Ramadan.

Rabu, 18 Julai 2012

Kadar zakat fitrah RM7.60, RM7.00 dan RM4.50


Image Detail
Kadar zakat fitrah bagi negeri Terengganu pada tahun ini ditetapkan mengikut tiga kadar RM7.60, RM7.00 dan RM4.50, masing-masing menurun berbanding RM8.00, RM7.00 dan RM5.00 tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata kadar fitrah itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan zainal Abidin.

“Sehubungan itu, mana-mana orang Islam yang akan menunaikan fitrah, boleh berbuat demikian sama ada dengan tunai mengikut tiga kadar berkenaan atau dibayar dengan beras dengan kadar timbangan 2.60 kilogram (Kg)atau dengan cupak bersamaan 2.97 cupak.
“Timbangan berat tersebut adalah mengikut nilaian berat satu gantang Baghdad,” katanya di Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Negeri Terengganu Tahun 1432 H/2012 M, di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Baitulmal Maidam, Encik Marzuki Endut.

Selasa, 17 Julai 2012

Juara Sukma ke-15, Ahad cuti umum di Terengganu Oleh FAUZI MOHD


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan Ahad ini, 22 Julai 2012, sebagai cuti umum di Terengganu berikutan kejayaan kontinjen negeri itu menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang, malam tadi.

Beliau juga berkata, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang.

“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada kejayaan kontinjen Sukma negeri, saya isytiharkan Ahad ini sebagai cuti umum di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pasukan itu di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Kira-kira 5,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat turut memeriahkan majlis sambutan itu yang turut menyaksikan para atlit dan pegawai skuad Hanelang diarak di sekitar daerah itu bermula dari sempadan Terengganu-Pahang. 

PENGAGIHAN DANA BAKTI REMAJA DUN RHU RENDANG 2012 - FASA 1


Rhu Rendang 15/07/2012 - Program Dana Bakti Remaja 2012 Fasa 1 peringkat DUN Rhu Rendang telah diadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Marang. Seramai 1,064 orang remaja menerima bantuan tersebut, terdiri daripada kawasan peti undi, Kelulut, Kg. Baru Bukit Kecil, Batangan, Rhu Muda, Seberang Marang dan Seberang Marang Pantai.

Program telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku. Didalam program ini, anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Isnin, 16 Julai 2012

Sukma Pahang : Kepulangan wira Terengganu bakal disambut meriah



Kontinjen `Terengganu Hanelang’ yang selangkah mengesahkan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) secara rasmi buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 Pahang yang berakhir esok dijangka akan tiba di sempadan Pahang-Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi lusa (Selasa).

Ketibaan wira-wira sukan dengan diketuai Ketua Kontinjen, Haji Wan Nawawi Wan Ismail yang berjaya merekod sejarah tersendiri buat negeri dan negara selepas melepasi sasaran 47 emas itu akan disambut orang-ramai sebaik sahaja memasuki Kemaman. 

Skuad Terengganu dijangka akan berarak bersama piala kejuaraan Sukma singgah di Pejabat Daerah Kemaman sebelum dibawa mengelilingi bandar Kemaman dan menikmati makan tengahari di situ.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...