Khamis, 28 Jun 2012

JKKK diingatkan jangan asyik bincang soal projek


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegur sikap segelintir Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang hanya membincangkan mengenai projek setiap kali mesyuarat JKKK diadakan dan membelakangkan masalah kampung yang dihadapi.

Ahmad berkata, sepatutnya masalah kampung perlu diberi keutamaan untuk dibincangkan kerana tanggungjawab JKKK adalah bagi memastikan kesejahteraan kampung selain membawa
kemajuan dan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Berapa kali kita (JKKK) ketika mesyuarat berbincang mengenai keselamatan dan masalah kampung seperti masalah curi ayam, curi lembu dan curi kelapa sawit? Ini tidak, yang dibincangkan hanya pasal projek. Lepas projek padang bola, projek futsal pula,” katanya.



Menurutnya, JKKK sepatutnya mengambil langkah ke arah mengukuhkan parti apatah lagi Pilihan Raya Umum (PRU) juga akan diadakan bila-bila masa sahaja.

Sementara itu, beliau turut meminta agar JKKK kerap turun padang menziarah rakyat terutama yang sakit bagi mendengar keluhan dan perasaan rakyat seterusnya membantu meringankan beban mereka.

“Takkan tak boleh dalam seminggu dua, tiga buah rumah, kita (JKKK) turun melawat. Ini sebaliknya, bila Menteri Besar turun melawat baru kelam kabut. Kadang kadang ada juga JKKK yang tidak tahu ada penduduk di kampungnya terlantar sakit diserang strok.

"Jadi, saya minta JKKK lebih bersungguh-sungguh (membela nasib penduduk) lepas ni. Mengapa kita tak boleh jalankan amanah sedangkan kita mempunyai segala kemampuan untuk membantu, kita ada duit yang cukup.

Jangan ambil lewa kerana di akhirat nanti kita (JKKK) akan dipersoal,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...