Ahad, 24 Jun 2012

HSNZ sedia khidmat urutan percuma selepas bersalin



Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan menyediakan perkhidmatan urutan selepas bersalin tidak lama lagi untuk mereka yang memerlukan rawatan susulan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, perkhidmatan percuma itu juga merupakan sebahagian usaha mempertingkatkan peranan Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari HSNZ.

Bagi tujuan itu katanya, pihak jabatan akan menempatkan pengamal urutan profesional yang bertauliah dengan pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun.

Beliau menjelaskan, tukang urut wanita itu akan berkhidmat secara kontrak di unit tersebut dan bilik bagi tujuan itu kini sedang diubah suai.


"Buat masa ini Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sedang mencari mereka yang layak," katanya baru-baru ini.

Anwa berkata, ketika ini, dua pengamal akupuntur dan dua pengamal urutan biasa ditugaskan di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari yang merawat antara lapan sehingga 15 pesakit sehari.

Menurutnya, bagi pengamal urutan tradisional biasa, mereka yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita bersedia memberi perkhidmatan kepada pesakit angin ahmar serta sakit sendi kronik.

Jelas beliau, pihaknya juga menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya dan khidmat urut kepada ibu lepas bersalin itu dijangka mula beroperasi dalam waktu terdekat ini.


Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...