Rabu, 13 Jun 2012

1,000 rumah mampu milik disediakan untuk penduduk DUN Rhu Rendang

MARANG 9 Jun - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bakal menikmati kediaman lebih selesa dengan pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik yang dilaksanakan kerajaan di Kampung Bukit Gasing dekat sini.

Pegawai Pembangunan DUN berkenaan, Nik Dir Nik Wan Ku berkata, daripada jumlah itu, 400 unit rumah akan siap dibina dalam masa terdekat manakala 200 unit lagi menyusul beberapa bulan lagi.

Beliau memberitahu, sementara baki 400 unit lagi rumah jenis itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

"Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) telah meluluskan projek perumahan mampu milik ini dan ia sedang rancak dalam pembinaan, setiap sebuah berharga RM100,000 tapi ia dijual antara RM60,000 hingga RM70,000 sebuah," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada Mingguan Malaysia selepas menyempurnakan program Gotong-Royong Perdana Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kalongan Melor, Rhu Rendang di sini hari ini.

Selain itu, Nik Dir memberitahu, sebanyak 398 lagi unit rumah mampu milik merangkumi banglo, teres setingkat dan dua tingkat serta rumah berkembar selain premis perkedaian juga dibina di Kampung Kelulut dekat sini untuk penduduk.

"Rumah-rumah ini yang dibina dekat Sekolah Kebangsaan Kelulut bakal dimiliki oleh mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah diikuti golongan pertengahan serta para peniaga," ujarnya.

Dalam pada itu, kira-kira 200 penduduk menjayakan program gotong-royong anjuran bersama KRT Taman Kalongan Melor dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Rhu Rendang itu.

Pada majlis itu, Nik Dir turut menghulurkan sumbangan termasuk wang tunai kepada 52 pelajar di taman perumahan itu yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia 2010/2011.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...