Selasa, 5 Jun 2012

Cerap fenomena ‘acara besar cakerawala’ di UniSZA


Satu fenomena lintasan kejora dengan matahari yang cuma berulang 106 tahun lagi akan berlaku pada 6 Jun ini.

Ketika itu, planet Zuhrah dalam pergerakan mengorbit seakan titik hitam yang merayap di permukaan matahari dan bagi ahli falak ia merupakan 'acara besar cakerawala' abad ini.

Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Baharrudin Zainal bekata, bagi masyarakat awam, fenomena ini hanya boleh dilihat menggunakan peralatan teleskop lengkap dengan penebat khas matahari.

Katanya, dalam pergerakan mengorbit ini, planet Zuhrah akan berada pada kedudukan sejajar atau satu garisan dengan Bumi dan matahari.

Menurut beliau, dengan saiz Zuhrah 1/32 berbanding matahari, planet Zuhrah hanya menutup tiga peratus dari keseluruhan permukaan matahari tetapi tidak menjejaskan bentuk dan cahayanya.

"Berdasarkan hitungan falak pada 6 Jun, sentuhan Zuhrah dengan matahari dijangka berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi dengan bentuk planet mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18 minit kemudian. 

"Ketika ini hanya pemerhati di Pantai Timur Sabah dan Sarawak yang berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur Semenanjung, khususnya di Terengganu, matahari hanya akan terbit kira-kira jam 6.54 pagi. 

"Kira-kira jam 9.30 pagi, planet Zuhrah yang dilihat dalam bentuk 'bulatan hitam', telah pun berada di tengah-tengah laluan rentasannya," ujar beliau. 

Katanya, planet akan dilihat meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira pukul 12.50 tengah hari dan bagimenyaksikannya orang ramai boleh berada di tempat-tempat cerapan yang diadakan oleh pelbagai agensi di seluruh negara.

Di sini, Unit Falak UniSZA akan mengadakan aktiviti cerapan mulai pukul 8.30 pagi sehingga 12.45 tengah hari di Lapang Sasar Memanah, Kampus Gong Badak.

"Saiz planet Zuhrah menyamai Bumi, apabila melihatnya dalam keadaan 'bulatan hitam kecil' melintas di permukaan matahari, kita bagaikan sedang melihat begitulah kerdilnya bumi yang kita huni dari kedudukan 42 juta kilometer. 

"Fenomena lintasan planet ini pastinya mengimbau rasa takjub terhadap perjalanan alam semesta yang harmoni," ujarnya.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...