Sabtu, 9 Jun 2012

Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara


Bekas Presiden MTUC antara 5 dilantik senator
KUALA LUMPUR - Ketua Wanita MCA Pahang Datuk Lim Nget Yoon, 56, merupakan antara lima individu yang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen hari ini.
   
Kelima-lima mereka dilantik sebagai Senator buat kali pertama untuk penggal tiga tahun.
   
Empat lagi yang dilantik ialah Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang Toh Puan Zaitun Mat Amin, 55, Ketua Wanita Umno Bahagian Bentong Roslin Abdul Rahman, 52, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan & Sekutu, Syed Shahir Syed Mohamud, 60, dan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ariffin S.M. Omar, 62.
   
Pelantikan Dr Ariffin dan Syed Shahir diusulkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggantikan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff yang tamat perkhidmatan pada 30 Mei lepas.
   
Syed Shahir ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau dan rakan lain akan meneruskan usaha mengangkat isu berkaitan pekerja di negara ini.

   
Syed Shahir, berasal dari Raub, Pahang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) dari University of Newcastle merupakan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kelana Jaya dan dilantik berdasarkan pengalamannya yang menjadi aktivis dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak tahun 1977.
   
Zaitun pula berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai senator dan berjanji akan lebih aktif dalam menyuarakan pendapat wanita di Dewan Negara.
   
"Tugas sebagai Senator ini bukan satu tugas remeh kerana kita telah dipertanggungjawabkan untuk membela nasib rakyat...saya akan berusaha ke arah itu terutama dalam memastikan kepentingan kaum wanita di negara ini terpelihara," katanya yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Belia Wanita 2005.   
   
Dalam ucapannya pada majlis itu, Abu Zahar mengingatkan Anggota Dewan Negara supaya berusaha memahami, menghayati, mempertahankan dan mendukung Perlembagaan Persekutuan.
   
Beliau juga menasihati mereka supaya tidak sesekali melanggar dan mengingkari sumpah setia yang telah dilafazkan kerana ia amat penting untuk dipraktikkan demi kepentingan rakyat. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...