Selasa, 19 Jun 2012

YPK perkasa pendidikan awal kanak-kanak


Image Detail
Terengganu mampu menjadi negeri contoh kerana kejayaannya menggerakkan program perkembangan awal kanak-kanak yang meliputi perkhidmatan pengasuhan, pendidikan serta penjagaan bayi dan kanak-kanak melalui 43 buah Taska di seluruh negeri. 

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti, aktiviti Taska dirancang bagi memenuhi perkembangan secara menyeluruh merangkumi fizikal, bahasa, kognitif serta sosio emosi.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Mohd. Safaruddin Mustaffa berkata, konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti Taska membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan mereka.


Pada masa ini katanya, pengoperasian Taska di seluruh negeri itu merangkumi lapan buah di Parlimen Besut, Setiu (5), Hulu Terengganu (3), Kuala Nerus (4), Kuala Terengganu (6), Marang (3), Dungun (10) dan Kemaman (5).

“Taska YPKT menggunakan kurikulum dan garis panduan bersepadu yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta perananya dimantapkan dengan penerapan Program Permata Negara,” katanya ketika dihubungi Teganukita semalam. 

Tambah Mohd. Safaruddin, tempoh pengasuhan lima hari seminggu antara pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut membantu golongan ibu bapa yang bekerja dan berpendapatan rendah menguruskan penjagaan bayi serta anak-anak mereka. 

Katanya, yuran bulanan sebanyak RM200 dikenakan untuk penjagaan kanak-kanak bawah satu tahun, berumur satu hingga empat tahun (RM180) dan berumur lima hingga sembilan tahun (RM150).

Bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti para pengasuh dan guru di Taska YPKT ujarnya, pelbagai kursus dan bengkel dianjurkan bagi meningkatkan keberkesanan program di pusat asuhan itu.

Antara program yang disertai termasuklah Kursus Pendidik Permata, Bengkel Bermain Bersama Kanak-Kanak, Bengkel Ciptaan Kreatif Kanak-Kanak, Bengkel Pemakanan dan Hidangan Kanak-Kanak dan Bengkel Seni Persembahan Kanak-Kanak.

“Turut dianjurkan bengkel penguasaan Bahasa Inggeris dan literasi awal kanak-kanak selain lawatan kerja guru-guru taska,” jelas beliau. 

Selain itu katanya, program Hafazan Muqaddam yang menjadi permulaan kepada pembelajaran al-Quran turut diberi penekanan di Taska YPKT.

Tahun lalu kata Mohd. Safaruddin, seramai 1,012 kanak-kanak di Taska YPKT berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

"Ia langkah awal untuk kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang seperti sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan," ujarnya.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...