Selasa, 31 Julai 2012

Jenazah bekas Adun Rhu Rendang selamat disemadi


Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Allahyarham Tengku Zahid Tengku Musa, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Telok Pasu, petang ini.

Beliau meninggal dunia pada usia 75 tahun dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, disembahyangkan di masjid kampung itu.

Majlis Berbuka Puasa Pemuda UMNO DUN Rhu Rendang / NGO


Rhu Rendang 30/07/2012 - Program majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Dun Rhu Rendang bersama NGO telah diadakan di Marang Village Resort & SPA, Kelulut, Marang, Terengganu.

Majlis dihadiri Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku, Ketua Pemuda UMNO Marang, En. Saiful Bahari, Ketua Pemuda UMNO Dun Rhu Rendang - En. Zaidi Awang dan beberapa orang NGO.

Seramai 200 orang hadir dimajlis yang diadakan.

 
 
 
Paparan selanjutnya sila layari laman facebook Rhu Rendang dan KLIK DISINI

Isnin, 30 Julai 2012

Janji Ditepati - Bantuan Mangsa Kebakaran di Kg. Darat Pak Chan


Rhu Rendang 29/07/2012 - Janji Ditepati - Bantuan kepada mangsa kebakaran yang berlaku pada 16/06/2012 di Kg. Darat Pak Chan, En. Dzu bin Muda, 42 tahun, tinggal sehelai sepinggang bersama keluarga akibat kebakaran yang berlaku dirumahnya pada hari tersebut.

Ahad, 29 Julai 2012

Bubur Lambuk Masjid Abidin jadi pilihan



Bubur lambuk Masjid Abidin sememangnya dikenali di kalangan warga bandar raya Kuala Terengganu yang pasti tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya setiap kali ketibaan Ramadan.

Masjid yang lebih dikenali sebagai Masjid Putih itu menjadi tumpuan bermula pukul tiga petang bagi mendapatkan bubur lambuk yang diagihkan secara percuma.

Sejak beberapa tahun lalu, program tajaan kerajaan negeri itu dilaksanakan secara bergotong-royong bagi memeriahkan suasana bulan Ramadan serta merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Meskipun ia boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai atau bazar Ramadan dengan harga RM2 sebungkus, namun bubur lambuk Masjid Putih tetap menjadi pilihan ramai.

Sabtu, 28 Julai 2012

Jabatan Kesihatan Terengganu letak label pada gerai bersih



Jabatan Kesihatan Terengganu (JKT) akan memberikan penilaian permarkahan mengenai aspek kebersihan dan mematuhi peraturan kesihatan serta perundangan kepada 4,577 peniaga di 47 bazaar Ramadan seluruh negeri mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dr A. Rahman Mokhtar berkata, pegawai daripada Jabatan Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah akan bekerjasama termasuk mengambil sampel makanan untuk memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai sepanjang Ramadan bersih dan tidak tercemar.

Katanya, daripada hasil pemeriksaan yang dijalankan itu , pemarkahan akan dilakukan dan kepada peniaga yang mendapat penilaian markah 80 peratus keatas akan dilabelkan digerai masing-masing sebagaimana yang diadakan ke atas restoran dan kedai makan.

Jumaat, 27 Julai 2012

Umat Islam usah bertengkar sesama sendiri


Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya mengelakkan diri daripada bertengkar sesama sendiri dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain kerana perkara yang remeh temeh.

Sebaliknya, mereka digalakkan supaya mengambil kesempatan kehadiran bulan Ramadan al-Mubarak ini untuk merapatkan silaturahim dan menguatkan ikatan persaudaraan sesama Islam.


Pendakwah Bebas, Haji Zulkifli Mohd Nasir, berkata Nabi Muhammad s.a.w amat tidak menyukai umat Islam yang bergaduh sesama sendiri, apatah lagi sampai tidak bertegur sapa.

“Nabi tidak mengaku umat bagi mereka yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari,” katanya ketika menyampaikan tazkirah sebelum solat Zuhur di Masjid Abidin (Masjid Putih), semalam.

Beliau turut mengajak umat Islam supaya merebut kelebihan beribadat sepanjang bulan Ramadan ini kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t terlalu besar.

Perigi tertua ditemui di Rhu Rendang Pantai, Marang

Perigi 100 tahun dari batu sungai


MARANG – Perigi lama berusia kira-kira 100 tahun masih digunakan seorang penduduk di Kampung Rhu Rendang Pantai di sini, untuk mendapatkan bekalan air kerana airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang melanda.


Perigi 100 tahun dari batu sungaiPerigi unik itu dibina daripada batu sungai yang disusun padat dan kemas. Uniknya mengenai perigi itu adalah ciri–ciri seni binaan warisan lama masih terpelihara kerana perigi tersebut tidak pernah dibaiki dan sesuai dijadikan produk pelancongan.

Perigi milik Abdul Ghani Said itu adalah perigi tertua di daerah ini, malah pemiliknya mendakwa tidak keterlaluan jika dia mengatakan perigi yang dibina semasa kedatangan tentera Jepun ke Terengganu itu adalah perigi tertua di negeri ini.

Abdul Ghani berkata, sehingga ke hari ini, air dari perigi berkenaan masih digunakan keluarganya, termasuk penduduk kampung berdekatan jika mereka menghadapi masalah gangguan bekalan air terutamanya untuk mandi dan berwuduk.

“Sewaktu ingin membina perigi ini saya berulang alik sejauh lebih kurang dua kilometer memunggah batu sungai dari rumah untuk membinanya. Airnya bukan sahaja jernih tetapi sejuk dan sejak dahulu lagi kami hanya menggunakan timba untuk mencedok airnya.


Berhati membeli daging lembu !!!

Subahat jual daging lembu curi


CURI LEMBU
Gambar hiasan
KAMPUNG RAJA – Dua lelaki termasuk seorang warga emas berusia 60 tahun antara yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket mencuri lembu di kawasan Kuala Besut sejak dua bulan lalu.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah dan Balai Polis Daerah telah menyerbu sebuah rumah di Kuala Besut pada jam 1.30 petang kelmarin dekat Kampung Alor Teratai, Kuala Besut.

Menurutnya, hasil serbuan polis memberkas seorang suspek berusia 27 tahun dan rakannya, warga emas berusia 60 tahun dan menemui seekor lembu yang diikat pada sebatang pokok dalam semak berhampiran.

“Siasatan mendapati suspek pertama disyaki terbabit mencuri lembu sekitar kampungnya dekat Alor Teratai, kemudian menjual kepada warga emas itu yang bertindak sebagai orang tengah.

“Warga emas terbabit kemudiannya dikatakan menjual daging lembu curi itu kepada orang ramai,” katanya.


Khamis, 26 Julai 2012

JKKK diminta agih kurma dari rumah ke rumah


Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diminta mengagihkan kurma dan air zam zam dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penduduk beragama Islam menerima bekalan tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan memastikan semua penduduk beragama Islam berpeluang menikmati buah kurma dan air zam-zam yang diberi secara percuma oleh kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Katanya, pihaknya tidak mahu lagi menerima aduan mengenai ada penduduk yang tidak menerima makanan istimewa tersebut disebabkan kelalaian JKKK.


“Seperti tahun sebelum ini, ada penduduk yang mendapat bekalan lebih daripada sepatutnya manakala sesetengah penduduk tidak menerima langsung bekalan yang disediakan kerajaan.

“Kita seboleh-bolehya mahu pemimpin setempat mengagihkan sendiri makanan istimewa itu dari rumah ke rumah kerana menyedari mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pemimpin setempat,” katanya.

Seorang penduduk dari Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, Awi Nik, 70, berkata keluarganya yang belum lagi menerima hadiah istimewa dari Menteri Besar itu yakin akan dapat dalam tempoh terdekat dari Pengerusi JKKK.

Katanya, dia bagaikan tidak sabar untuk menerima dan merasainya kerana yakin kurma yang diagihkan itu sedap dan berkualiti.

“Saya berharap agihan kurma dan air zam-zam ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana mampu memberi pengertian yang cukup besar kepada penduduk,” katanya.

Rabu, 25 Julai 2012

Sampel Makanan Di Bazar Ramadan Terengganu Diambil Untuk Pemeriksaan



KUALA TERENGGANU, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mula mengambil sampel makanan yang dijual di 2,900 gerai bazar Ramadan di seluruh bandar ini bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Sampel yang diambil adalah secara rawak dengan tumpuan diberi kepada makanan yang berisiko terdedah kepada pencemaran bakteria, antaranya makanan yang perlu dikendali dengan tangan secara terus, makanan yang menggunakan santan atau makanan yang tidak perlu dimasak seperti kerabu.

PENGAGIHAN DANA BAKTI REMAJA 2012 FASA TERAKHIR DUN RHU RENDANG


Marang 24/07/2012 - Program Pengagihan Dana Bakti Remaja 2012 DUN Rhu Rendang masuk ke fasa terakhir bagi tahun ini berlangsung di Dewan Utama Majlis Daerah Marang pada hari ini dengan melibatkan 1,201 orang penerimanya.

Program pengagihan disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku, bermula jam 9.00 pagi bagi peti undi Pulau Kerengga, Beris Gong, Kuala Tengah, Medan Jaya dan Medan Jaya 1 melibatkan 533 penerima. Manakala disebelah petangnya pula bermula jam 2.30 petang bagi peti undi Kijing, Paya, Rhu Rendang dan Rhu Rendang Pantai, melibatkan seramai 668 orang penerima.

Selasa, 24 Julai 2012

GOLONGAN REMAJA TIDAK DILUPAKAN


Rhu Rendang 23/07/2012 - Pengagihan Dana Bakti Remaja peringkat DUN Rhu Rendang masih lagi diteruskan bagi peti undi RAKR Desa Permai, Bukit Gasing, Rusila, Taman Bukit Indah dan Taman Rashidah dengan melibatkan sejumlah 514 orang remaja. Majlis diadakan disebelah paginya bermula jam 9.00 di Dewan Utama Majlis Daerah Marang.

Manakala disebelah petangnya pula penagihan Dana Bakti Remaja bagi peti undi Bandar Marang, Alor Pak Pang, Sg. Kerak, Sentol Patah, Gong Nangka dan Tertak Batu dengan melibatkan seramai 544 orang remaja.

Majlis telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku, yang turut hadir Pengerusi APMT Parlimen Marang, En. Anuar Yahya,  Penghulu Mukim Pulau Kerengga, Penghulu Mukim Bandar Marang serta Ketua/Timbalan Pemuda DUN Rhu Rendang.

Isnin, 23 Julai 2012

Rakyat Terengganu dapat Dana Raya


Golongan berpendapatan rendah di negeri ini bakal menerima Dana Raya daripada kerajaan negeri pada minggu depan.

Pemberian dana tersebut merupakan program tahunan kerajaan negeri bagi membantu golongan berkenaan membuat persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri, termasuk membeli pakaian anak-anak.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sempena Aidilfitri tahun ini seramai 170,000 keluarga akan diberikan Dana Raya yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan RM50 juta.

Melalui program itu, setiap keluarga akan mendapat habuan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada bilangan anggota keluarga.

Mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima bantuan tersebut.

“Bantuan ini akan mula diagih kepada keluarga yang layak mulai minggu kedua bulan Ramadan. Pada masa ini kerajaan negeri sedang mengatur bayaran bagi golongan belia yang layak menerima bantuan melalui Program Dana Bakti Remaja,” katanya kepada wartawan petang semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pemberian tersebut menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

“Kita harap rakyat, khususnya mereka yang menerima bantuan tersebut bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah banyak berjasa kepada mereka,” katanya.

Ahad, 22 Julai 2012

Pas derhaka titah sultan


Pemimpin dan penyokong Pas tidak menghormati titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahukan isu dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan dengan segera kerana ia memecah-belah umat Islam di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pemimpin dan ahli Pas yang bertanggungjawab memulakan perkara itu dan mereka sepatutnya yang menghentikan kegiatan tersebut.


“Selagi ahli Pas sembahyang Jumaat di tempat berasingan daripada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, selagi itu isu ini tidak boleh selesai.

“Manakala pemimpin Pas pula tidak melarang ahli-ahli Pas dan penyokong mereka solat Jumaat di tempat yang tidak diwartakan oleh pihak berkuasa, jadi kegiatan ini terus berlaku di negeri ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Mizan sebelum ini supaya kegiatan dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan bagi menyatupadukan umat Islam yang berpecah akibat isu tersebut.

Secara tidak langsung, kata YB Ustaz Haji Muhammad Ramli pemimpin dan penyokong Pas derhaka kepada Tuanku Sultan Mizan kerana tidak mengambil berat teguran baginda.

Sumber:teganukita

Sabtu, 21 Julai 2012

Penduduk Marang persoal tindakan AmBank tutup cawangan


MARANG 18 Julai - Penduduk di sekitar bandar ini terutamanya pelanggan AmBank berharap pihak pengurusan bank itu tidak akan menutup operasi cawangannya kerana ia banyak memberi kesulitan kepada mereka.

Bagi mereka, institusi perbankan itu tidak harus mementingkan keuntungan semata-mata dan meminta ia terus dikekalkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial bagi memberikan kemudahan dalam pelbagai bentuk perkhidmatan.

Walaupun hanya sebagai sebuah bank cawangan, tetapi banyak perkhidmatan yang ditawarkan dan mereka berpendapat ia sepatutnya dipertingkatkan dan bukannya ditutup.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati notis pemberitahuan mengenai penutupan cawangan bank tersebut berkuat kuasa mulai 29 September depan ditampal di pintu masuk dan segala urusan serta perkhidmatan yang berkaitan akan dipindahkan di AmBank Kuala Terengganu.

Sumbangan mampu terus aktifkan persatuan



“Tidak pernah sebelum ini persatuan kami memperoleh sumbangan sebanyak ini daripada mana-mana pihak walaupun mengetahui wang itu penting untuk kebajikan ahli dan pentadbiran.

“Kami tidak pernah meminta melainkan ada di kalangan ahli yang berkemampuan yang menghulurkannya supaya pertubuhan yang ditubuhkan lebih 24 tahun lalu terus aktif,” kata Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Ikan Melayu Kuala Terengganu, Md Tahar Abdullah.


Persatuan itu yang menerima sumbangan RM4,000 daripada kerajaan negeri berazam untuk terus menjaga kebajikan kira-kira 500 ahli, termasuk berkaitan khairat kematian, ahli uzur dan pinjaman modal.

Md Tahar ditemui Teganukita selepas Program NGO Dihatiku di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Jumaat, 20 Julai 2012

Umat Islam Di Malaysia Mula Berpuasa Sabtu Ini


KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Sabtu ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu ini, 21 Julai 2012, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Khamis.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Khamis, 19 Julai 2012

RM830,000 pengisian Ihya Ramadan


Kerajaan Terengganu menyalurkan peruntukkan sebanyak RM830,000 kepada masjid dan surau di negeri ini bagi merangsang pengisian program Ihya Ramadan tahun ini.

Peruntukkan itu disediakan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan diatur bagi mengimarahkan sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukkan tersebut diharap dapat mengukuhkan tabung masjid dan surau bagi membantu pentadbiran institusi berkenaan menyemarakkan kedatangan Ramadan.

Rabu, 18 Julai 2012

Kadar zakat fitrah RM7.60, RM7.00 dan RM4.50


Image Detail
Kadar zakat fitrah bagi negeri Terengganu pada tahun ini ditetapkan mengikut tiga kadar RM7.60, RM7.00 dan RM4.50, masing-masing menurun berbanding RM8.00, RM7.00 dan RM5.00 tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata kadar fitrah itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan zainal Abidin.

“Sehubungan itu, mana-mana orang Islam yang akan menunaikan fitrah, boleh berbuat demikian sama ada dengan tunai mengikut tiga kadar berkenaan atau dibayar dengan beras dengan kadar timbangan 2.60 kilogram (Kg)atau dengan cupak bersamaan 2.97 cupak.
“Timbangan berat tersebut adalah mengikut nilaian berat satu gantang Baghdad,” katanya di Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Negeri Terengganu Tahun 1432 H/2012 M, di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Baitulmal Maidam, Encik Marzuki Endut.

Selasa, 17 Julai 2012

Juara Sukma ke-15, Ahad cuti umum di Terengganu Oleh FAUZI MOHD


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan Ahad ini, 22 Julai 2012, sebagai cuti umum di Terengganu berikutan kejayaan kontinjen negeri itu menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang, malam tadi.

Beliau juga berkata, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang.

“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada kejayaan kontinjen Sukma negeri, saya isytiharkan Ahad ini sebagai cuti umum di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pasukan itu di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Kira-kira 5,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat turut memeriahkan majlis sambutan itu yang turut menyaksikan para atlit dan pegawai skuad Hanelang diarak di sekitar daerah itu bermula dari sempadan Terengganu-Pahang. 

PENGAGIHAN DANA BAKTI REMAJA DUN RHU RENDANG 2012 - FASA 1


Rhu Rendang 15/07/2012 - Program Dana Bakti Remaja 2012 Fasa 1 peringkat DUN Rhu Rendang telah diadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Marang. Seramai 1,064 orang remaja menerima bantuan tersebut, terdiri daripada kawasan peti undi, Kelulut, Kg. Baru Bukit Kecil, Batangan, Rhu Muda, Seberang Marang dan Seberang Marang Pantai.

Program telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku. Didalam program ini, anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Isnin, 16 Julai 2012

Sukma Pahang : Kepulangan wira Terengganu bakal disambut meriah



Kontinjen `Terengganu Hanelang’ yang selangkah mengesahkan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) secara rasmi buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 Pahang yang berakhir esok dijangka akan tiba di sempadan Pahang-Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi lusa (Selasa).

Ketibaan wira-wira sukan dengan diketuai Ketua Kontinjen, Haji Wan Nawawi Wan Ismail yang berjaya merekod sejarah tersendiri buat negeri dan negara selepas melepasi sasaran 47 emas itu akan disambut orang-ramai sebaik sahaja memasuki Kemaman. 

Skuad Terengganu dijangka akan berarak bersama piala kejuaraan Sukma singgah di Pejabat Daerah Kemaman sebelum dibawa mengelilingi bandar Kemaman dan menikmati makan tengahari di situ.

Sambutan Minggu Perpaduan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Marang 2012

Marang 14/07/2012 - Sambutan Minggu Perpaduan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Marang 2012 telah diadakan di Perkarangan KRT Taman Desa Permai, Kg. Darat Pak Chan, Marang. Majlis sambutan bermula jam 2.30 petang dengan acara pertandingan basikal berhias '1Basikal 1Keluarga' KRT Daerah Marang. Sejumlah 55 buah basikal dan keluarga mengambil bahagian didalam pertandingan tersebut.

Disebelah malamnya pula jam 9.30 malam telah diadakan gimik menaikkan bendera Malaysia dan diiringi band dari 512 Askar Wataniah dengan menyanyikan lagu negaraku.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Negeri Terengganu, En. Tukimin Sarlan. Turut hadir Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku, Ketua-Ketua Jabatan dan anggota KRT Daerah Marang.

Ketibaan Pengarah JPINT diarak dengan basikal berhias daripada Dewan SIVIK Kg. Darat Pak Chan dan diiringi dengan peronda PDRM Daerah Marang sejauh lebih kurang 1/2 km ke pentas utama. Setibanya dihadapan pentas utama VIP yang diraikan telah disambut oleh kumpulan silat warisan Negeri Terengganu.

Ahad, 15 Julai 2012

TAHNIAH DAN SYABAS OLAHRAGAWAN / OLAHRAGAWATI TERENGGANU


TERENGGANU selangkah merangkul gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke-14 temasya itu dengan 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.
Dua daripada enam pingat emas kontinjen Terengganu hari ini diperoleh dalam acara pencak silat menerusi Normanjalina Madon (Kelas A 45-50kg Puteri) dan Norfarana Mohd Kamil (Kelas Bebas 75-90kg Puteri).
Skuad basikal Terengganu turut menyumbang dua pingat emas dalam acara Kriterium 54.4km wanita menerusi Zahraa Anuawar dan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri (Kriterium 81.6km lelaki).
Baki dua lagi emas Terengganu diraih Nurul Iryani Muda (Compound perseorangan wanita pusingan olimpik) dan petanque lelaki triples (Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani/Mohamad Adri Abdul Jalil/Syed Akmal Fikri Syed Ali).
Kontinjen Selangor yang menghuni tangga kedua keseluruhan menggumpul 45 pingat emas, 48 perak dan 51 gangsa.
Dalam saingan hari ini, Selangor hanya mengutip dua pingat emas dalam acara pencak silat menerusi Nor Afizah Yajis (Kelas E 65-70kg Puteri) dan Partini Sakrikin Adnan (Kelas B 50-55kg Puteri).

PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA JKKK SUNGAI KERAK


Marang 14/07/2012 - Program Gotong Royong Perdana dan Penyampaian Anugerah Cemerlang PAKR Sungai Kerak berlangsung pada hari ini dan telah dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku.

Turut hadir pegawai dan anggota polis IPD Marang yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahya, Petugas Majlis Daerah dan penduduk setempat. Program gotong royong diadakan sempena penyampaian anugerah cemerlang serta Perlantikan Baru JKKK Taman Sungai Kerak pada 01/05/2012.

Namun begitu diharap penduduk setempat dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Pengerusi JKKK yang dilantik, agar kelancaran perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan sempurna.

untuk paparan selanjutnya sila layari laman face book Rhu Rendang dan KLIK DISINI

Sabtu, 14 Julai 2012

Kerajaan negeri bekal uniform, insurans untuk Rela


Kerajaaan Terengganu bersetuju membekalkan uniform kepada anggota Pasukan Sukarelawan Rakyat (Rela) di negeri ini yang belum memiliki pakaian seragam dalam tempoh terdekat, sebagai menghargai peranan mereka yang sedia mencurahkan tenaga untuk berkhidmat tanpa mengira masa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan skim insurans berkelompok bagi menjaga kebajikan dan memberi perlindungan kepada anggota yang mengalami kemalangan sewaktu menjalankan tugas masing-masing.

“Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri akan membekalkan uniform kepada anggota Rela yang masih tidak memiliki uniform. Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyediakan insurans berkelompok kepada Rela yang bertugas.

Jumaat, 13 Julai 2012

Majlis Agihan Zakat Hari Raya Daerah Marang 2012


Rhu Rendang 12/07/2012 - Program berlangsung di Dewan Utama Majlis Daerah Marang bermula jam 9.00 pagi. Seramai 1,529 orang penerima daripada kawasan DUN Rhu Rendang dengan melibatkan wang tunai sejumlah RM577,050.00 telah diagih-agihkan kepada mereka yang layak menerima.

Menurut Pegawai Executive Maidam Ustaz Maheran Yusof, bagi tahun ini beberapa garis panduan baru telah digubal semula bagi memastikan kesemua mereka yang layak menerima tidak terlepas pandang. Diantara garis panduan yang ditetapkan mengenai pemilihan serta penapisan adalah terdiri daripada tiga orang panel iaitu Pengerusi JKKK, Pengerusi Masjid dan Amil yang dilantik. Mereka-mereka inilah yang akan menentukan kelayakan penerima benar-benar menepati syarat terdiri daripada gulungan fakir dan miskin.

Khamis, 12 Julai 2012

PEMIMPIN TURUN PADANG


Rhu Rendang 11/07/2012 - Dengan keprihatinan YB Dato Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu terhadap Orang Kurang Upaya (OKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang telah mengadakan Program Karisma Mesra bersama penduduk Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang pada hari ini mulai jam 4.45 petang.  Perjumpaan bersama penduduk telah diadakan di dewan taman tersebut yang dihadiri lebih kurang 300 orang.

Turut hadir Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji Abdul Rahman Che Ali, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku, Pengerusi JKKK berhampiran bagi memeriahkan lagi majlis yang diadakan.

Rabu, 11 Julai 2012

Pembantu Penyelia DUN Ajil Didakwa Buat Tuntutan Palsu RM1 Juta


Seorang Pembantu Penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Hulu Terengganu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu RM1 juta, empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Md Sayuti Daud, 52, didakwa memberi dokumen mengandungi senarai nama penerima Dana Kebajikan LRTSB dengan jumlah 500 orang iaitu sebanyak RM2,000 untuk setiap seorang, yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta kepada seorang ejen iaitu Che Nor Aidah Aman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan LRTSB di Pejabat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) yang beralamat di No. 1797, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu, antara Feb hingga Mei 2008.

Tertuduh bagaimanapun mengetahui dokumen itu mempunyai butiran palsu mengenai senarai nama penerima, iaitu seramai 30 orang penama didapati meninggal dunia dan 40 penama lagi tidak wujud.

Had kedatangan pelancong ke pulau


Kerajaan negeri akan mengehadkan kedatangan pelancong dan muatan barangan ke beberapa pulau peranginan tersohor di Terengganu dalam usaha memulihara alam semula jadi demi manfaat generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti beberapa aspek keperluannya sebelum ia boleh dilaksanakan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengkaji kemungkinan mengehadkan barangan mengikut jumlah jam pengunjung berada di pulau-pulau berkenaan bagi menikmati alam semula jadi.


“Pendekatan kita pada peringkat awal ini adalah untuk memikirkan berapa jam dibenarkan berada di pulau dengan bermalam di tanah besar.

“Mungkin kita akan menyediakan pakej tiga hari satu malam iaitu dua hari di tanah besar dan satu hari di pulau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tahunan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 300 pelajar dan ahli akademik termasuk 35 orang dari lapan negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Libya, Iran, Pakistan, India dan Perancis menyertai simposium tiga hari dan berakhir esok (11Julai) itu.

Selasa, 10 Julai 2012

Program Shap di setiap pusat daerah mengundi


Badan Perhubungan Umno Terengganu kini memberi tumpuan kepada program 'Setiap Hari Ada Program' (Shap) yang dijalankan di semua pusat daerah mengundi di seluruh negeri, bermula 1 Julai lalu, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata bagi menjayakan program itu, setiap pusat daerah mengundi mempunyai jawatankuasanya sendiri.

“Shap adalah lanjutan daripada Program Juara Rakyat, Majlis Penerangan Perdana, Seminar Wasatiyyah & 1Malaysia, Tinjauan Mesra Penerangan dan pelbagai kursus yang telah dijalankan.


"Program ini dijalankan secara bersepadu melibatkan perbagai pihak, termasuk jentera dan penerangan bahagian Umno sehingga menjelang PRU Ke 13,” katanya.

Menurutnya, dia yakin semua jawatankuasa di 342 pusat daerah mengundi di seluruh Terengganu komited dan serius melaksanakan program ini kerana mahu melihat Barisan Nasional menang besar pada pilihan raya akan datang.

“Pelbagai aktiviti boleh dirancang melalui Shap bagi mendekatkan pemimpin setempat bersama rakyat, mengerakkan jentera parti dan merapatkan hubungan rakyat bersama Umno.

“Antara aktiviti itu adalah sukaneka, kejohanan bola sepak dan futsal, sukan rakyat, melawat orang uzur, menziarahi pesakit di hospital dan gotong royong,” katanya.

Sumber:teganukita

Isnin, 9 Julai 2012

Jelajah janji ditepati: Minum lima minit, masalah 10 tahun selesai...



Jelajah Janji Ditepati Selangor ini bermula awal pagi lagi, apabila PM bersarapan dan mendengar aduan dari penduduk Bangi di Pasar Awam Seksyen 1, Bandar Baru Bangi. Perdana Menteri yang tiba tepat jam 9.00 pagi meluangkan masa kira-kira satu jam setengah mendengar permasalahan rakyat.

Acara santai mengadu sambil menikmati makan pagi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya memang berkesan, ramai yang beratur panjang untuk bertemu dengan Najib.

Apa yang menarik adalah, Najib bukan sahaja mendengar bahkan cuba menyelesaikan masalah tersebut di situ juga.

Kes E. Yellappan dan isterinya N Ranee (gambar bawah) adalah contoh jelas, N Ranee, 53, cacat anggota dan sudah disitiharkan tidak boleh bekerja sejak 10 tahun lepas, namun beliau menghadapi masalah untuk mengeluarkan caruman Perkesonya, semua dokumen lengkap tetapi kerenah birokrasi menyukarkan beliau.

Ahad, 8 Julai 2012

Kerajaan negeri sokong penganjuran TIIAF 2012


Kerajaan negeri sentiasa aktif dan fokus dalam memajukan pelbagai sektor terutama yang mampu memberi faedah secara kepada rakyat dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata atas faktor itu, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap penganjuran `Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2012’ kerana menyedari ia akan memberi pulangan jangka panjang kepada pelbagai pihak.

“Hasil yang bakal diperoleh bukan hanya sekadar membawa pulang dari segi eknomi semata-mata, bahkan mampu menyumbang kepada penyuburan dan pembangunan modal insan negeri,” katanya ketika mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan Majlis Pelancaran Awal TIIAF, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Induk TIIAF yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Sabtu, 7 Julai 2012

RAKYAT TERENGGANU SEMAKIN RAMAI MENGIDAP KENCING MANIS 'DIABETES'


KUALA MENJING - Kencing manis ataupun Diabetis dikenal pasti antara penyakit yang menunjukkan graf peningkatan jumlah pesakit baru hampir saban tahun bagi negeri ini, dan pastinya ia satu perkara yang membimbangkan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Anwa Sulaiman berkata, ia terbukti apabila jumlah pesakit baru didaftarkan sepanjang tahun lepas seramai 3,752 orang, manakala sehingga Mei tahun ini, jumlahnya sudah menjangkau 2,359 pesakit.

“Statistik juga menunjukkan peningkatan bagi pesakit baru. Berdasarkan rekod 2007, jumlah pesakit diabetes baru didaftarkan sepanjang tahun ialah 2,092 orang, manakala pada tahun lepas seramai 3,752 orang.

“Jika dibuat perbandingan, bermakna bagi tempoh lima tahun terdapat lebih 1,000 individu menghidap penyakit ini. Malah dijangka ia akan terus meningkat jika tiada langkah awal diambil orang ramai untuk mencegah daripada menghidap diabetes," katanya.

Menurutnya, corak kehidupan dan aspek pemakanan adalah faktor utama penyebab diabetes.

Lawatan sehari PM ke Terengganu 13 Julai ini


Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka mengadakan lawatan sehari ke Terengganu, pada 13 Julai (Jumaat) ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, beberapa acara akan mengisi program pemimpin utama negara itu termasuk solat jumaat di Masjid Bukit Payong, Marang, sebelum menyertai jamuan rakyat bersama seluruh penduduk tempatan di Padang Bola, Bukit Payong.

Katanya, program kemudiannya disusuli dengan perjumpaan dengan Rela seluruh Terengganu di Stadium Tertutup, Kuala Terengganu yang dijangka akan dihadiri kira-kira 20,000 orang.

"Selesai acara di Stadium Tertutup, Dato’ Sri Mohd Najib akan menemui jentera peti undi seluruh Terengganu yang diadakan di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

“Lawatan beliau dalam tempoh seminggu dari sekarang dan ini maklumat terbaru yang saya terima," katanya di Alor Limbat, Marang, semalam (5 Julai).

Menurut Dato' Yahya lagi, kunjungan Perdana Menteri ke Bukit Payong sebagai hadiah kepada penduduk di Dun berkenaan memandangkan Umno Terengganu mensasarkan mampu memenangi (Pilihan Raya Umum ke-13) di kawasan itu nanti.

Jumaat, 6 Julai 2012

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu jadi agen tranformasi



Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap daerah sewajarnya bertindak sebagai agen tranformasi supaya ahli-ahli peladang di negeri bijak dan berani mencuba perkara baru.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), Wan Zakaria Abdul Rahman, berkata mereka sewajarnya terlibat secara langsung dalam membangunkan projek-projek pertanian berskala besar dan komersial.

Katanya, pada masa sama, PPK perlu memantapkan dan memperkukuhkan rantaian nilaian pengeluaran hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani dan ahli peladang sama ada secara individu atau berkelompok.

Hati-hati... Panggilan palsu dari KWSP


kwsp
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan orang ramai dan ahlinya agar berhati-hati terhadap panggilan palsu yang dibuat oleh individu yang menyamar menggunakan nama KWSP dan talian Hotline Anti-Fraud KWSP untuk menipu mereka.

"Kami ingin menegaskan bahawa Talian Hotline Anti-Fraud tidak digunakan untuk menghubungi ahlinya tetapi hanya menerima panggilan daripada orang ramai. Oleh itu, kami ingin mengingatkan ahli agar berwaspada dengan aktiviti penipuan seperti ini," menurut KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ahli yang menerima panggilan mencurigakan mengenai KWSP diminta membuat laporan melalui Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-26162121, yang beroperasi dari 8.15 pagi hingga 5.15 petang (Isnin ke Jumaat) atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP 03-89226000 atau melapor terus kepada polis.

"Modus operandi bermula dengan mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa daripada KWSP meminta mereka untuk membuat pengesahan sama ada sudah membuat permohonan melalui internet.

Khamis, 5 Julai 2012

Iklan haram: MPS keluar 300 kompaun, turun 6,500 iklan

Iklan yang terpapar di lampu isyarat Rhu Rendang, Marang

Di Marang iklan yang ditampal bertambah dari hari ke hari. Jika tindakan segera tidak diambil maka terjadilah sebagaimana yang berlaku di kawasan Lembah Klang. Pihak berkuasa perlu prihatin mengenai perkara ini.

SELAYANG - Sebanyak 300 kompaun dikeluarkan dan 6,500 iklan haram diturunkan dalam operasi membanteras iklan tanpa lesen melibatkan 24 zon peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.


Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kes berbanding tahun lalu yang mencatatkan hanya 3,000 iklan.

Menurutnya, zon dengan kes tertinggi ialah Kepong iaitu sebanyak 3,000 iklan dan diikuti Gombak, 1,200 serta Selayang, 1,000 iklan.


Allahyarham Dato’ Razali wajar jadi ikon pendidikan


Masyarakat terutama guru dan pelajar di Terengganu parlu menjadikan Allahyarham Dato’ Razali Ismail, bekas Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, sebagai ikon pendidikan yang berjiwa rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kehebatan pemimpin itu ketika hayatnya yang mencetus dan merancang pelbagai idea baru di bidang pendidikan dan politik sewajarnya disanjungi dan dihargai semua pihak.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini meneruskan segala agenda yang dirancang Allahyarham supaya Terengganu terus unggul sebagai Negeri Anjung Ilmu.

“Allahyarham Dato’ Razali bukan saja setakat menjadi seorang pemikir dan perancang, malahan beliau sendiri menunjukkan contoh teladan dan model pendidik dan pemimpin sejati yang berjiwa rakyat.

“Sepanjang hayatnya, beliau banyak merancang dan menyediakan kemudahan kepada rakyat untuk memahami ispirasi negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh Allahyarham Dato’ Razali Ismail, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...