Rabu, 25 Julai 2012

Sampel Makanan Di Bazar Ramadan Terengganu Diambil Untuk Pemeriksaan



KUALA TERENGGANU, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mula mengambil sampel makanan yang dijual di 2,900 gerai bazar Ramadan di seluruh bandar ini bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Sampel yang diambil adalah secara rawak dengan tumpuan diberi kepada makanan yang berisiko terdedah kepada pencemaran bakteria, antaranya makanan yang perlu dikendali dengan tangan secara terus, makanan yang menggunakan santan atau makanan yang tidak perlu dimasak seperti kerabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar berkata pengambilan sampel makanan itu juga dilakukan secara berjadual di peringkat daerah oleh kakitangan jabatan itu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 
 


"Bagi setiap daerah, kakitangan kami akan pergi ke setiap bazar Ramadan dan mengambil sampel makanan yang berisiko dicemari bakteria yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

"Sekiranya keputusan dari makmal mengesahkan sampel makanan yang diuji itu telah dicemari bakteria, tindakan tegas akan terus diambil termasuk menghentikan jualan di bazar Ramadan," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Selasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...