Isnin, 16 Julai 2012

Sukma Pahang : Kepulangan wira Terengganu bakal disambut meriah



Kontinjen `Terengganu Hanelang’ yang selangkah mengesahkan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) secara rasmi buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 Pahang yang berakhir esok dijangka akan tiba di sempadan Pahang-Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi lusa (Selasa).

Ketibaan wira-wira sukan dengan diketuai Ketua Kontinjen, Haji Wan Nawawi Wan Ismail yang berjaya merekod sejarah tersendiri buat negeri dan negara selepas melepasi sasaran 47 emas itu akan disambut orang-ramai sebaik sahaja memasuki Kemaman. 

Skuad Terengganu dijangka akan berarak bersama piala kejuaraan Sukma singgah di Pejabat Daerah Kemaman sebelum dibawa mengelilingi bandar Kemaman dan menikmati makan tengahari di situ.

Pada sebelah petangnya, rombongan akan bergerak ke Kuala Terengganu dan menyertai acara Pengibaran Jalur Gemilang Peringkat Negeri, di Dataran Syahbandar, kira-kira jam 9 malam.

Program pengibaran Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-55 dijangka akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sehingga petang semalam, Terengganu kian mengukuhkan cengkaman untuk mempertahankan juara keseluruhan Sukma ke- 15 Pahang apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke- 14 temasya itu dengan 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.

Kontinjen Hanelang merampas takhta Selangor sejak semalam dengan dibezakan lapan pingat emas ketika Sukma masih berbaki dua hari lagi sebelum melabuhkan tirai secara rasmi.

Sementara itu, Terengganu meraih emas ke-53 menerusi acara pentaque lelaki akhir gandingan trio Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani, Mohd Adri Abd jalil dan Syed Akmal Fikri Syed Ali, kira-kira jam 6.40 petang semalam. 

Sehubungan itu, orang ramai dan peminat sukan negeri diminta menyambut kepulangan atlet Terengganu di sepanjang laluan rombongan bermula dari Kemaman sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi atas pencapaian cemerlang mereka di persada sukan negara. Terengganu Hanelang!

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...