Rabu, 11 Julai 2012

Pembantu Penyelia DUN Ajil Didakwa Buat Tuntutan Palsu RM1 Juta


Seorang Pembantu Penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Hulu Terengganu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu RM1 juta, empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Md Sayuti Daud, 52, didakwa memberi dokumen mengandungi senarai nama penerima Dana Kebajikan LRTSB dengan jumlah 500 orang iaitu sebanyak RM2,000 untuk setiap seorang, yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta kepada seorang ejen iaitu Che Nor Aidah Aman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan LRTSB di Pejabat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) yang beralamat di No. 1797, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu, antara Feb hingga Mei 2008.

Tertuduh bagaimanapun mengetahui dokumen itu mempunyai butiran palsu mengenai senarai nama penerima, iaitu seramai 30 orang penama didapati meninggal dunia dan 40 penama lagi tidak wujud.

Perbuatan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Undang-undang Malaysia Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Md Sayuti juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu pada tempat dan tarikh yang sama, memalsukan satu dokumen iaitu senarai nama penerima Dana Kebajikan LRTSB dengan jumlah keseluruhan 500 orang iaitu sebanyak RM2,000 untuk setiap seorang, yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta dengan niat hendak menggunakan dokumen terbabit untuk tujuan menipu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...