Ahad, 17 Jun 2012

Hudud tidak wajar jadi isu politik


KUALA LUMPUR 16 Jun - Mana-mana pihak yang menggunakan hukum pelaksanaan hudud sebagai modal politik untuk menang dalam pilihan raya disifatkan hanya mencari keredaan pengundi dan bukannya keredaan Allah.

Ahli Akademik dari Arab Saudi, Ahmad Hamad al-Jilani berkata, Islam menuntut umatnya mengutamakan pelbagai perkara asas yang lebih utama seperti isu pendidikan, ekonomi dan sosial sesebuah negara itu.

Jelas beliau, sebelum mewajuikan hukum hudud, pelbagai aspek lain perlu diambil kira termasuklah semua masyarakat perlu menerima pelaksanaan itu.

''Apa yang penting kita perlu mencari keredaan Allah bukan keredaan manusia.
''Sesiapa yang menggunakan hukum hudud untuk menang pilihan raya maka tujuannya bukan kerana Allah tetapi mencari keredaan pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peserta selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Adaptasi Kepimpinan Nabi Dalam Pentadbiran Negara pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Sesi kedua seminar itu dipengerusikan oleh Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ismail Ibrahim.

Turut hadir Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin.

Mengulas isu sama, Bekas Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, Mesir, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour berkata, pelaksanaan hukum hudud merupakan sebahagian kecil atau satu persepuluh daripada syariat Islam.

Menurut beliau, pemimpin negara Islam perlu mengambil kira keadaan dan pengetahuan yang membolehkan pelaksanaan hukum itu selain masyarakat dan negara sudah bersedia.

''Hukum hudud tidak boleh dilaksana begitu mudah kecuali ada keadaan membolehkannya kerana ia bukan satu perkara utama dalam Islam.

''Ini termasuk jika timbulnya keraguaan, maka ia tidak wajib dilaksanakan kerana Islam telah menggariskan prasyaratnya,"katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...