Jumaat, 18 Mei 2012

Yayasan Terengganu membiayai RM106 juta kepada 3,700 pelajar


Yayasan Terengganu memperuntukan lebih RM106 juta pada tahun ini untuk membiayai pengajian lebih 3,700 pelajar termasuk 545 penuntut di 12 buah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan untuk biasiswa dan pinjaman itu antara usaha kerajaan negeri untuk melahirkan profesional dalam pelbagai bidang.

Dengan jolokan Negeri Anjung Ilmu katanya, YT turut memberi biasiswa melalui Skim Pelajar Cemerlang dalam beberapa universiti terkemuka dunia dalam pengajian profesional seperti perubatan, farmasi, bioteknologi dan kejuruteraan.


“Program yang bermula sejak 2005 itu sehingga kini menaja 48 pelajar di universiti-universiti terbaik di United Kingdom dan 24 pelajar lagi sedang menduduki A-Level,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Semua A bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2011 di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengarah YT, Zakaria Yusof.

Pada majlis itu, seramai 471 pelajar SPM 2011 yang mendapat semua A menerima hadiah kecemerlangan berupa wang tunai RM500 setiap seorang dan 17 daripada mereka yang memperolehi semua A+ memperolehi komputer riba.

Selain itu, Ahmad Razif turut menyampaikan wang tunai RM500 kepada 21 pelajar STPM 2011 yang berjaya mendapat PNGK antara 3.80 hingga 3.99 dan 4 daripada mereka yang mendapat PNGK 4.00 mendapat sebuah komputer riba setiap seorang.

Hadiah keseluruhan yang disampaikan sebanyak RM246,000.


Ahmad Razif menambah, YT dijangka membelanjakan kira-kira RM18 juta pada tahun ini bagi program bantuan persediaan pelajar yang bakal menyambung pengajian ke pusat matrikulasi serta institusi pengajian tinggi antara RM500 hingga RM1,000 seorang.

Tahun lalu katanya, YT membelanjakan RM17.42 juta untuk diagihkan kepada 23,339 pelajar yang layak manakala pada tahun 2010, seramai 26,801 pelajar mendapat manfaat melalui program itu dengan peruntukan RM20.03 juta.

“Tahun 2009, sejumlah RM19.49 juta dibelanjakan untuk membantu 26,235 pelajar melanjutkan pengajian. Tahun sebelumnya, YT mengagihkan RM16.10 juta kepada 22,813 pelajar,” ujarnya.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...