Khamis, 10 Mei 2012

Jumlah hutang negara RM257 bilion


Jumlah hutang negara yang ditanggung kerajaan sehingga 31 Disember 2011 adalah RM257 bilion atau 30.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai  berkata, hutang negara itu adalah berikutan pinjaman yang diperoleh kerajaan dan sektor swasta.

Jelasnya, tanggungan tersebut merangkumi hutang luar Kerajaan Persekutuan, Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) dan sektor swasta.

"Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pula RM456.1 bilion dan daripada jumlah tersebut hutang dalam negeri ialah RM438 bilion atau 96 peratus manakala hutang luar negeri berjumlah RM18.1 bilion atau 4 peratus sahaja.

"Jumlah hutang luar yang rendah adalah selaras dengan dasar kerajaan yang mengutamakan pinjaman dalam negeri kerana mempunyai kecairan tinggi, kos pinjaman lebih rendah serta meminimumkan risiko tukaran wang asing," katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Paul Kong Sing Chu dan Datuk Abdul Rahman Bakar mengenai jumlah hutang negara dan status bayaran balik hutang tersebut.

Siang Chai turut menjelaskan kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pembayaran balik pinjaman dibuat mengikut jadual yang ditetapkan.

"Sehingga kini, kerajaan telah membayar semua hutang dengan teratur dan ini adalah hasil daripada pendekatan pengurusan hutang berhemat iaitu pinjaman hanya dibuat setelah mengambil kira kemampuan membayar balik.

"Pada 2011, jumlah bayaran hutang adalah sebanyak RM17.7 bilion atau 9.7 peratus daripada perbelanjaan pengurusan," ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...