Jumaat, 25 Mei 2012

Mohd Zuhairie terharu terima RM20 ribu


Bekas pemain bola sepak Piala Presiden Pasukan T.Team, Mohd Zuhairie Ahmad Tarmizi, 22, terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri yang sudi menyumbang sejumlah RM20,000 kepada beliau.

Beliau yang putus semua jari kanan akibat digilis pengisar tebu ketika berniaga air tebu di Bazar Ramadan, Marang pada 7 Ogos tahun lalu, berazam menggunakan wang itu sebaik mungkin bagi menambahkan modal perniagaan keluarga yang kini membuka kedai makan.

“Wang yang diperoleh ini cukup berharga kerana saya kini tidak dapat melakukan aktiviti lain kecuali membantu keluarga berniaga di warung,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang semalam.


Majlis yang dirasmikankan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden PSTNT, Encik Shapian Ali.

Menteri Besar turut mengagihkan RM95,000 kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) kerana berjaya menjulang nama Terengganu pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Khir Johari di Manjong, Perak, 4 hingga 8 April lalu.

Seramai 19 pemain termasuk pegawai menerima insentif itu di mana setiap individu memperoleh RM5,000.

Manakala, bekas pemain bola sepak kebangsaan yang berjaya mangharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Olimpik Musim Panas pada 1972, Encik Harun Jusoh dan bekas pemenang pingat emas Sukan Sea, Encik Abdul Razak Ismail, menerima pakej umrah 2012 yang masing-masing bernilai RM6,800.

Ketika menceritakan kejadian lalu, Mohd Zuhairie yang bermain di posisi pertahanan pasukan T.Team ketika itu, berkata dia yang membantu abang (Mohd Zulhaimie Ahmad Tarmizi) berniaga air tebu memasukkan ruas-ruas tebu ke dalam pengisar, kira-kira jam 5.30 petang.

“Namun tanpa disangka, secara tiba-tiba tangan kanan tersangkut dan termasuk ke dalam mesin itu lalu digilis.

“Saya terus menjerit sekuat hati kerana terlalu sakit, tetapi malangnya tiada siapa yang dengar kerana bunyi enjin pengisar itu terlalu bising,” katanya.

Beliau yang panik melihat tangannya berlumuran darah cuba mematikan suis mesin itu namun tidak berjaya kerana kedudukannya agak jauh.

“Saya masih tidak perasan lima jari saya putus sehinggalah saya dapat tarik keluar tangan kanan," katanya.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...