Ahad, 13 Mei 2012

Kes saman fitnah Harakah, ADUN Batu Burok 17 Mei


Image Detail
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Mei ini bagi pengurusan kes saman fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Terengganu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain sebelum ia mula dibicarakan pada Julai ini.

Timbalan Pendaftar, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan lsmail Petra menetapkan tarikh tersebut sewaktu sebutan kes itu di kamar beliau hari ini.

Peguam Abdullah Omar Wahbi Bawadi hadir mewakili kerajaan negeri Terengganu selaku plaintif manakala Syed Azman dan tiga lagi yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam Azhana Mohd. Khairudin.


Pada prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 23 Julai ini.

Pada 15 Disember tahun lalu, kerajaan negeri itu mendakwa artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?' yang ditulis oleh Syed Azman dan disiarkan di muka surat N5 di dalam akhbar Harakah bertarikh 11 hingga 13 November 2011 adalah salah, fitnah dan berniat jahat.

Selain kerajaan negeri, turut dinamakan sebagai plaintif ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said serta dua peniaga dari Hamie Enterprise, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin.

Pihak plaintif menamakan Syed Azman; pemegang permit akhbar Harakah, Dato’ Mustafa @ Hassan Ali; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; dan syarikat penerbitan Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut pernyataan tuntutan, kerajaan negeri Terengganu menyatakan, telah bersetuju melaksanakan program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah bagi seluruh pelajar miskin di negeri itu untuk meringankan beban kewangan keluarga miskin dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi melaksanakan program tersebut, Menteri Besar telah menerima dua sebut harga daripada Hamie Enterprise dan sebuah lagi syarikat lain.

Plaintif mendakwa, artikel tersebut antara lain menggambarkan pemberian kontrak itu tidak telus, tersalah urus dan secara salah mendapatkan keuntungan yang besar.

Ekoran penerbitan tersebut, pihak plaintif menyatakan, reputasi dan nama baiknya telah terjejas, perniagaannya rugi selain menanggung malu. - FAUZI MOHD
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...