Sabtu, 19 Mei 2012

Najib buat kerja betul dan patut disokong - Tunku Aziz


Image Detail
KUALA LUMPUR 18 Mei - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim hari ini berkata kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak harus disokong dan patut diberi peluang dan masa bagi menjayakan program-program transformasi yang sedang dilaksanakannya sekarang.

Bekas pemimpin DAP yang bertindak keluar dari parti itu Isnin lepas kerana mempertahankan prinsipnya menentang demonstrasi Bersih 28 April, sekali lagi mengulangi pandangannya bahawa program transformasi yang dimulakan Perdana Menteri adalah baik untuk negara.

"Apa yang Perdana Menteri buat sekarang ini adalah betul (is the right thing), jadi kita kena sokong (support) dia," katanya sambil menambah kata bahawa transformasi yang Najib usahakan adalah suatu proses untuk perubahan yang sudah tentu mengambil masa.

“Proses dari segi definisinya pun kena ambil masa sikit. Proses, bukan produk...produk boleh keluar terus, awak pergi Tesco (pasar raya) boleh beli (barang)," katanya sambil menegaskan ini termasuk usaha pentadbiran Najib untuk menambah baik proses demokrasi negara.

Diminta pandangannya sama ada kepimpinan Najib akan mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang kerana perubahan-perubahan yang sedang dibawanya, Tunku Aziz berkata: “Saya bukan penganalisa politik dan tidak mahu membuat spekulasi."

"Tapi proses, kena bagi masa, bagi peluang. Dulu kita dok (sering) jerit itu, ini, kerajaan tak buat itu dan ini, sekarang kerajaan dah dengar... (maka) itulah saya kata tak payahlah lagi lah nak buat protes...(sekarang) nak buat Bersih 4.0 (pula)...mahu apa lagi," katanya.

Beliau berkata tunjuk perasaan diadakan untuk menarik perhatian dan mempertingkatkan kesedaran orang ramai.

"Awak fikir kerajaan tak nampak apa rakyat hendak? (dalam perhimpunan itu) 98 peratus, yang protes nak tukar undang-undang itu ini, tapi yang dua peratus tu...mereka itu ada agenda lain...mereka buat kacau," katanya.

Beliau merujuk kepada tindakan parti-parti politik pembangkang tertentu yang dikatakan telah “merampas" tunjuk perasaan itu daripada badan bukan kerajaan menganjurnya dan dikatakan bertanggungjawab mencetuskan huru-hara pada hari itu sehingga beberapa anggota polis dan orang awam mengalami kecederaan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...