Selasa, 15 Mei 2012

Peter Butler jurulatih baru bola sepak Terengganu


Image Detail
Desas-desus mengenai gerangan jurulatih bola sepak yang bakal mengemudi pasukan Terengganu, akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih pasukan Kelantan, Peter Butler bakal mengambil alih pasukan bola sepak negeri ini berkuatkuasa 1 Jun ini.

Malah, perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika diminta mengulas mengenai kedudukan jurulatih Mat Zan Mat Aris yang direhatkan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sehingga esok (15 Mei).


“Sebagai peminat saya berharap bola sepak kita terus mencapai kejayaan selepas ini dan mengenai prestasi sekarang ia tidak boleh dielakkan kerana beberapa tonggak utama mengalami kecederaan.

“Saya dimaklumkan oleh PBSNT mulai 1 Jun depan, Terengganu akan dapat jurulatih baru dan saya harap ada perubahan selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Wisma Darul Iman,Kuala Terengganu, hari ini.

Prestasi bola sepak negeri yang agak merudum kebelakangan ini telah membangkitkan kemarahan peminat tegar pasukan Penyu sekali gus menyebabkan pihak PBSNT merehatkan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris sebelum memberi tugas itu untuk sementara kepada Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata, jadual perlawanan yang ketat dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi impak kepada pemain berikutan tidak mempunyai rehat yang cukup serta menjejaskan kualiti sepanjang beraksi dalam setiap perlawanan.

“Kita bermain untuk Liga Super kemudian Piala AFC dan Piala FA, akibat tidak cukup rehat beberapa tonggak utama pula turut mengalami kecederaan serius. Perkara ini tidak boleh dijangka,” katanya.

Majlis menandatangani kontrak antara Peter Butler dengan PBSNT telah diadakan di pejabat PBSNT hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...