Isnin, 21 Mei 2012

Ahli UMNO sabotaj parti diambil tindakan segera


Image DetailTindakan lebih tegas termasuk dilucut keahlian akan diambil terhadap anggota UMNO yang dikesan mensabotaj parti itu sebelum pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu bertujuan mengelak risiko kehilangan lebih banyak sokongan terhadap parti itu.

Beliau berkata sebelum ini tindakan tata tertib hanya dilakukan selepas pilihan raya berakhir namun ia sudah terlewat untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata masalah dalaman parti kebanyakannya berpunca daripada individu yang merasakan mereka layak menjadi calon pilihan raya namun tidak dipilih parti bagi bertanding di sesebuah kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Pihak ibu pejabat (UMNO) telah meminta tiga nama bagi tiap-tiap kawasan DUN dan Parlimen dan tidak mustahil dua daripada tiga nama itu akan marah kerana tidak dapat menjadi calon, ditambah pula mungkin ada calon-calon yang datang daripada senarai yang tidak dikemukakan oleh bahagian tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Mutiara Pernama Kem Terendak di sini, hari ini.

Malah, katanya, mengikut kajian yang dilakukannya, sebanyak 47 kawasan Parlimen di seluruh negara disabotaj anggota parti sendiri pada pilihan raya umum 2008 menyebabkan masalah kehilangan sokongan terhadap parti itu.

Justeru, Ahmad Zahid berkata Jawatankuasa Disiplin UMNO kini telah menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan tindakan undang-undang dan tata tertib yang boleh diambil jika terdapat sabotaj oleh anggota parti itu. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...