Isnin, 14 Mei 2012

Semua anak syarikat kerajaan wajib bayar zakat


Semua anak syarikat milik kerajaan Terengganu diminta supaya jangan memberi jawapan tidak munasabah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebagai alasan untuk tidak membayar zakat perniagaan.

Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan Hashim, berkata pihaknya cukup kesal dengan sikap sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang ternama di Terengganu menjadikan alasan tidak perlu membayar zakat kerana mereka antara syarikat milik kerajaan.

Katanya, syarikat itu wajib membayar zakat, kerana keuntungan yang diperoleh dibelanjakan untuk kepentingan pelbagai pihak dan bukannya terus kepada kerajaan.


“Maidam cuba mengadakan perbincangan atau rundingan dengan ahli-ahli majlis mesyuarat syarikat ternama itu, tetapi mereka enggan berbuat demikian dan memberi kerjasama.

“Rundingan itu cukup penting bagi kita, untuk menerangkan perkara atau pengertian sebenarnya mengenai kewajipan membayar zakat perniagaan.

“Setiap syarikat atau jabatan milik kerajaan yang memperoleh pendapatan dan hasilnya disalurkan melalui saluran sama iaitu kerajaan, ia dikecualikan membayar zakat perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu kepada Maidam.

Wakil TNB, Pengurus Besar (Pembahagian)TNB Terengganu, Ir Md Yuslan Md Yusof menyerahkan sejumlah RM269,249.79 kepada Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan Hashim di di pejabat Maidam, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, hari ini.

Zakat perniagaan yang diserahkan TNB itu selepas mengambil kira keuntungan yang diperoleh pihak itu pada tahun lalu iaitu kira-kira RM500 juta.

Dato' Senara Muda turut memberitahu, semua syarikat dan anak syarikat kerajaan negeri perlu sedar dengan kewajipan membayar zakat supaya rezeki yang diperoleh akan diberkati dan diredhai Alah S.W.T.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...