Khamis, 3 Mei 2012

Kerajaan lulus 250 lot tanah dari empat RTB

Kerajaan negeri meluluskan 250 lot tanah tapak rumah dan pertanian buah-buahan daripada empat Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) untuk diagihkan kepada 250 penduduk di seluruh Terengganu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 101 daripada 116 lot RTB Alor Ketitir (Mukim Merchang) (kekosongan 15 lot), manakala 61 daripada 64 lot di RTB Susun Atur Perpindahan Tapak Rumah Kampung Pulau Rusa (Mukim Merchang) (kekosongan tiga lot).

“Ketiga, RTB Pertanian Paya Gelugor, Kampung Jenagor (Mukim Jenagor) Hulu Terengganu akan diagihkan 30 daripada 44 lot dan masih ada kekosongan 14 lot dan keempat, RTB pertanian buah-buahan, Kampung Hulu Sat, (Mukim Hulu Telemong) diagihkan kepada 58 peserta daripada 70 lot keseluruhan (kekosongan 12 lot).

“Kesemua lot dan tapak rumah yang diluluskan kerajaan negeri sebanyak 250 lot. Sepertimana baru-baru ini, sebanyak 15,000 lot sudah kita agihkan, 6,000 lebih tapak pertanian dan selebihnya tapak rumah. Jumlah terbaru ini tambahan kepada jumlah sedia ada itu,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini .

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri meluluskan permohonan pemilikan tanah kepada penduduk yang belum memiliki tanah dan menolak permohonan penduduk yang sudah mempunyai tanah kerajaan bagi memastikan pendekmorasian tanah dilaksanakan di seluruh Terengganu.

Katanya, Pejabat Tanah Daerah akan menjalankan kerja ukur dan pecah sempadan mengikut lot masing-masing sebelum mengeluarkan geran hak milik sementara kepada penduduk yang layak sebaik sahaja tapak tanah berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Kita akan proses (pemberian tanah kerajaan) dari masa ke semasa, sebagaimana kita buat baru-baru ini di (Jenagor) Hulu Terengganu. Daerah-daerah lain juga sudah diagihkan (geran) oleh wakil rakyat masing-masing secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...