Jumaat, 8 Mac 2013

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat Tabung Memali


JERLUN 8 Mac - Bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau C.N Al-Afghani mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat penyelewengan dan pecah amanah Tabung Memali oleh Pas.

Zainon berkata, dia lantang memperjuangkan isu tersebut kerana tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah yang mengetahui mengenai penyelewengan yang berlaku.

''Saya sibuk pasal tabung ini sebab tangan ini yang menulis, mata ini yang melihat, ini tanggungjawab saya.

''Saya pernah guna saluran dalam parti Pas untuk selesaikan masalah tabung ini, saya hantar surat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tapi tiada tindakan diambil.

''Sebab itu saya ambil keputusan mendedahkan perkara ini kerana ini merupakan tanggungjawab saya, kalau tak buat bagaimana saya nak menjawab di depan Allah nanti," katanya ketika menyampaikan ceramah 'Selamatkan Kedah' di Padang Sera di sini semalam.

Dalam majlis tersebut, seramai 29 ahli dan penyokong Pas Padang Sera yang hilang kepercayaan kepada parti itu turut mengambil keputusan menyertai UMNO.


Kesemua mereka menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Penulis buku Kafirkah Aku? dan Air Mata Di Bumi Memali itu juga menafikan dakwaan bahawa dia berdiri di pentas ceramah dianjurkan UMNO kerana dibayar oleh parti itu.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa saya berdiri di sini atas tanggungjawab sebagai umat Islam yang nak lihat UMNO, Pas dan seluruh umat Islam di negara ini bersatu.

"Memang dulu saya tak nak cakap atas pentas UMNO tetapi Pas tidak memberikan tempat kepada saya," jelasnya. - UTUSAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...