Penerangan Umno Negeri Terengganu berhasrat menjalinkan jaringan kerjasama dengan pengamal media seluruh negeri dalam usaha berkongsi informasi berguna bagi melancarkan fungsi jentera Cybertroopers Umno yang kini sedang giat digerakkan.
Ketuanya, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata peluang bekerjasama dengan semua wartawan serta jurugambar dapat memantapkan peranan cybertroopers menerusi gerakan 24 jam yang diwujudkan Penerangan Umno bagi berdepan dan menangkis serangan musuh politik di dunia siber.
“Satu pasukan dibentuk bagi menjayakan peranan menggerakkan Cybertroopers Umno 24 jam sehari mulai sekarang sebagai sumber maklumat alternatif serta jentera membantu kemenangan parti Barisan Nasional dan Umno.
“Dengan adanya jaringan kerjsama dengan pengamal media di seluruh Terengganu sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi informasi dan isu semasa. Pada masa yang sama kita juga menjaga etika laporan supaya kita tidak memfitnah pihak lawan,” katanya kepada pemberita ketika kunjungan ke Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), hari ini.
Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.
Dato’ Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata, pihaknya akan memastikan jentera Cybertroopers Umno Terengganu hanya melaporkan berita yang tepat berasaskan fakta yang sahih bagi mengelak fitnah kepada pihak lain yang boleh mengundah masalah.
"Umno Terengganu tidak mahu ikut cara pembangkang yang gemar memfitnah sebaliknya menjaga etika dengan berusaha mendapatkan fakta yang tepat melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai sebelum keluarkan sebarang berita,” katanya.
Sumber:teganukita