Sabtu, 9 Mac 2013

Menjelang PRU, bapa Saiful kata Anwar tak liwat - ANEH


KUALA LUMPUR: Bapa kepada Saiful Bukhari Azlan hari ini mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meliwat anaknya dan berkata ia konspirasi pihak tertentu untuk kepentingan politik.
 
Azlan Mohd Lazim membuat dakwaan itu pada sidang media di sebuah apartmen di Gombak, beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  
 
Hanya media terpilih termasuk beberapa portal pembangkang dijemput untuk mendengar Azlan membaca kenyataannya itu.
 
Saiful tidak ada pada sidang media berkenaan, yang disifatkan oleh beberapa wartawan sebagai “aneh”.   
 
Azlan mendakwa beliau hanya tampil sekarang membuat penafian itu selepas empat tahun, bertegas anaknya diliwat Anwar kerana "rasa bersalah dan tidak tenang." 
 
Beliau juga mendakwa "mengumpul" maklumat selama empat tahun sebelum muncul dengan penafiannya hari ini.  
 
Pada Januari tahun lalu, Anwar dibebaskan daripada tuduhan meliwat Saiful pada Jun 2008 setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak beberapa bukti pendakwaraya termasuk hasil keputusan DNA membabitkan Ketua Pembangkang itu.
 
Ketika itu Azlan lantang menolak keputusan mahkamah berkenaan dan mendesak Peguam Negara untuk mengemukakan rayuan.
 
Pada hari ini, Azlan mendakwa beliau hanya berbuat demikian kerana mengikut telunjuk pihak tertentu.
 
"Saya hanya baca skrip tersebut disebabkan perasaan sayang saya kepada anak (Saiful), namun setelah lama saya berasa bersalah dan tak tenang.
 
"Saya percaya anak saya telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka, percakapan yang dibuat pada media juga telah diatur dan dirancang,” kata beliau.
   
Saiful mendakwa Anwar meliwatnya di sebuah Kondominium di Damansara dan membuat sumpah laknat ditemani Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, 15 Ogos 2008.
 
Azlan berkata segala kenyataan medianya sebelum ini melibatkan beliau dan anaknya dirancang dan disediakan oleh dua individu.
 
“Semua kenyataan akhbar anak saya dan saya sendiri dirancang dan diskripkan oleh peguam Zamri Idrus dan Khairul Annas Jusoh," katanya lagi.
 
Khairul adalah pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
“Walaupun pada ketika perbicaraan berjalan, saya dilihat bersama anak saya. Ini semata-mata kerana kasih seorang ayah yang memberi sokongan moral kepada anak yang tidak beribu," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...