Sabtu, 2 Mac 2024

Buru ‘gergasi’, ‘naga’ culas bayar cukai

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melaksanakan tugas mengutip cukai dengan lebih tegas, tanpa mengira kedudukan sesebuah syarikat atau pangkat individu itu.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan terdapat syarikat ‘gergasi’ mahupun ‘naga’ di negara ini masih culas membuat pembayaran cukai kepada kerajaan.

Beliau tidak mahu ada syarikat atau individu yang merasakan kedudukan dan pengaruh mereka membolehkannya terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab membayar cukai.

“Kita tidak boleh memberi gambaran yang atas, paling maha kaya itu terselamat daripada tindakan. Mesti ada kesungguhan dan keberanian daripada anda semua, tidak kira kaitannya dan kedudukannya.

“Saudara bertugas menjalankan tanggungjawab, tidak kira sama ada dia Ahmad atau Ah Seng atau Tan Sri atau Tun, saudara hanya kira dia bayar cukai atau tidak.

“Jika dia tidak bayar, geledah dan ambil tindakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Menyorot kembali sejarah naik taraf LHDN daripada sebuah jabatan kepada agensi pada 1 Mac 1996, Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Kewangan, berkata beliau menerima laporan terdapat puluhan syarikat gergasi terkenal negara yang sukar membayar cukai.

“Ada yang bayar setengah, ada yang bayar suku kerana syarikat ini terlalu besar, gergasi, naga… siapa yang berani singgung.

“Mereka (kakitangan LHDN) ketika itu secara berani melaksanakan tugas tanpa mengira gergasi dalam perniagaan dan berjaya mengutipnya, dan mengenang kesungguhan dan risiko yang dihadapi, saya memutuskan menaikkan (status) jabatan menjadi agensi lembaga,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, asas cukai Malaysia masih rendah, iaitu kira-kira 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding negara jiran seperti Singapura (12.6 peratus) dan Thailand 16.4 peratus.

Jumlah pembayar cukai juga masih rendah, iaitu kira-kira 435,000 daripada 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia, kurang daripada 29 peratus.

“Saya singgung hal ini untuk menjelaskan betapa mendesaknya kecekapan, kepantasan, pengurusan dan pendirian LHDN kerana jumlah yang membayar itu kecil dan hasilnya itu amat diperlukan, bukan hanya untuk pertumbuhan negara tapi juga memberi keselesaan kepada rakyat.

“Bagaimanapun pada tahun lalu, saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kerana LHDN kerana berjaya mencipta sejarah baharu kutipan cukai, iaitu sebanyak RM183.34 bilion, melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada jumlah kutipan tahun sebelumnya,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan pada masa sama turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan defisit melalui langkah mengurangkan hutang dan amalan tata kelola yang baik.

Katanya, pemimpin negara tidak boleh mewariskan hutang kepada generasi akan datang, yang akan menjadi beban kepada mereka, seperti yang diwarisi kerajaan hari ini.

“Kutiplah hasil banyak mana pun tetapi amalan kita itu kalau boros dan tiris, bebannya kepada generasi akan datang. Itu bukan pimpinan yang baik,” katanya.-BH Online

Buru ‘gergasi’, ‘naga’ culas bayar cukai – Anwar (media-perpaduan.com)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...