Isnin, 18 Mac 2024

BINA MASJID RM7.5 JUTA DI KAWASAN PERMAINAN MASA KECIL

 


KOTA BHARU - Hasrat murni seorang lelaki membina sebuah masjid di kawasan permainannya sewaktu kecil akhirnya menjadi kenyataan selepas rumah ibadah bernilai RM7.5 juta itu telah siap dibina.

Pembinaan MASJID IMANUL FA'IZIN ATAU MASJID ANDALUSIA yang terletak di Kampung Padang Kala, di sini berjaya direalisasikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin.

Reka bentuk yang berinspirasikan Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.

Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa'izin, Nik Saiful Adli Burhan, tapak masjid ini merupakan kawasan permainan pemiliknya semasa kanak-kanak sekali gus meninggalkan banyak memori indah kepada Ibrahim.

"Bertitik-tolak dari situlah beliau (Ibrahim) berazam untuk membina sebuah masjid menggunakan wang miliknya sendiri.

"Alhamdulillah masjid ini berjaya dibuka kepada orang ramai bermula satu Ramadan lalu. Malah lebih bermakna lagi apabila 2,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat tarawih di sini pada hari pertama pembukaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, untuk menyiapkan masjid ini barangan pembinaan diterbangkan khas dari beberapa negara seperti Indonesia, Oman, Turkiye, Mesir, Madinah, Makkah dan beberapa negara lain lagi.

Ujarnya, ketelitian menjadi keutamaan dalam pembinaan Masjid Imanul Fa'izin apabila pintu gerbang diubah sebanyak 21 kali bagi memastikan seni binanya tepat sebagai mana reka bentuk asal.

Nik Saiful Adli memberitahu, Ibrahim yang menetap di Kuala Lumpur hanya memberikan gambar dari pelbagai sudut Masjid Sheikh Zayed kepada tukang untuk dijadikan sebagai panduan bagi memastikan binaannya sempurna.

Tambahnya, Ibrahim amat menitikberatkan reka bentuk setiap inci binaan termasuk kubah, tiang mahupun pintu gerbang masjid agar secara luaran ia menyamai Masjid Sheikh Zayed.

"Sebagai contoh lantai masjid adalah marmar yang sama digunakan di Masjidilharam. Apabila siang hari, lantai ini tidak panas.

"Malah karpet yang digunakan adalah bercorak sama seperti di Raudhah, Masjid Nabawi, Madinah yang ditempah khas dari kilang sama.

"Lebih istimewa, setiap kawasan di masjid ini boleh digunakan untuk solat kerana terdapat sekumpulan pekerja asing yang ditugaskan khas untuk mencuci kawasan setiap waktu solat," katanya.

Menurut Nik Saiful Adli, uniknya suasana di sini apabila lantai akan dicuci, dimop dan karpet serta sejadah akan ditukar sebagaimana yang dilakukan di Masjidilharam, Makkah.

Selain pintu gerbang, beliau berkata, kewujudan lebih 100 kubah besar dan kecil berwarna putih yang turut mencuri tumpuan orang ramai setiap kali berkunjung ke masjid berkenaan.

Katanya, sebahagian daripada kubah itu ditempah dan dibeli dari Indonesia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu selain solat sunat tarawih, orang ramai juga boleh menyertai majlis berbuka puasa yang disediakan untuk sekitar 200 hingga 400 jemaah serta moreh.

Ujarnya, selepas empat hari dibuka kepada orang ramai masjid tersebut tidak pernah lekang daripada menerima pengunjung.

Nik Saiful Adli memberitahu, pengunjung serta jemaah datang dari pelbagai kawasan seperti Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang dan paling jauh setakat ini dari Besut, Terengganu.

https://www.sinarharian.com.my/article/654865/edisi/kelantan/bina-masjid-rm75-juta-di-kawasan-permainan-masa-kecil

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...