Jumaat, 25 November 2011

Pintu gerbang Ketengah indahkan Bandaraya Warisan Pesisir Air


Sekitar kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini semakin berseri dan bercahaya apabila Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menaja pintu gerbang berunsur tradisional dan moden.

Pintu gerbang bernilai kira-kira RM500,00 yang ditempatkan di Jalan Sultan Ismail itu mendapat pujian pelbagai pihak, terutama pengguna jalan raya kerana ia memaparkan keunikan tersendiri.

Pengurus Besar Ketengah, Encik Wan Mat Amin Wan Daud, berkata sepasang keris yang dijadikan asas pintu gerbang itu melambangkan keutuhan dan ketuanan bangsa Melayu di negeri Terengganu. 

“Di bahagian tengah pintu gerbang pula terdapat susunan lima bilah logam berwarna emas dan perak secara berselang seli yang melengkung ke bawah melambangkan rukun Islam sebagai asas kehidupan beragama.



“Melintanginya pula terdapat susunan enam bilah logam berwarna emas dan perak yang melengkung ke atas melambangkan Rukun Iman. Kedua-dua unsur ini menjelaskan kedudukan agama Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyempurnakan Gimik Penyalaan Lampu Pintu Gerbang Ketengah, malam tadi (23 November).


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Dagang dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Encik Wan Mat Amin turut memberitahu bahagian ‘beam’ pula terdapat kerawang berukir yang menunjukkan kesenian yang tinggi dalam seni ukiran negeri.



“Papan elektronik berukuran 20 kaki panjang dipasang di bahagian tengah ‘beam’ untuk menyalurkan maklumat program kerajaan negeri dan aktiviti Ketengah.

“Di tengah-tengah bilah logam di bahagian puncak pula tersemat kata-kata `Negeri Terengganu - Bumi Bertuah Darul Iman’ dan logo Ketengah sebagai penaja pintu gerbang pada bahagian leher keris,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...