Isnin, 28 November 2011

MB ajak umat Islam memiliki sikap mulia


Menteri Besar mengajak umat Islam di negeri ini menghentikan perangai buruk seperti gemar menabur fitnah, mendengar hasutan dan mengamalkan sikap berpuak-puak kepada amalan mulia sempena sambutan Maal Hijrah ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sudah tiba masanya mereka membuang tabiat buruk dan menggantikannya dengan amalan baik sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.


Katanya, maksud hijrah itu juga perlu dikembangkan daripada hidup miskin kepada kehidupan lebih selesa, jika seseorag itu buta huruf kepada memiliki ilmu yang tinggi atau erti kata lain celik ilmu.


“Setiap insan atau umat Islam itu tidak perlu jemu menuntut ilmu yang nyata untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat, bak kata perpatah `tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad dan tuntutan ilmu sehinggalah ke negeri China’,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.



Tetamu kehormat lain, Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Alias Abdullah dan beberapa wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Dalam majlis itu, Allahyarham Dato’ Haji Awang Jabar diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah dan wakilnya berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.


Manakala Masjid Kampung Rawai, Marang memenangi tempat pertama bagi anugerah masjid mukim terbaik; Haji Mohamed @ Razak Abdullah dari Kampung Gong Balai, Marang (Anugerah Imam Cemerlang) dan Haji Abu Bakar Said pula dinobatkan sebagai Anugerah Bilal Cemerlang.

Penerima lain iaitu Syarikat Ibrahim MN Industri (M) Sdn Bhd pula diumumkan sebagai Anugerah Kilang Produk Terbaik.

Dato’ Seri Ahmad menambah, hijrah memerlukan pengorbanan yang besar dalam melaksana perubahan bagi mencapai sesuatu yang lebih baik dan cemerlang.

“Oleh itu, di dalam konteks globalisasi hari ini, setiap dari kita dituntut menanam sikap ingin melaksana pembaharuan dan kemajuan dengan semangat dan azam yang tinggi berlandaskan prinsip dan syariat Islam,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...