Selasa, 7 Ogos 2012

NGO Terengganu sokong isu hasil petroleum dibayar secara saksama diselesaikan


KUALA TERENGGANU 5 Ogos - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini menyokong usaha kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu bayaran tunai daripada hasil petroleum secara saksama kepada negeri-negeri di Pantai Timur.

Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri, Ahmad Izani Ab. Ghani bagaimanapun berharap, sesiapa sahaja yang terpilih menganggotai jawatankuasa itu kelak terdiri daripada mereka yang benar-benar layak.

“Pilihlah mereka yang tahu asas perkara ini bagi memudahkan proses bayaran dibuat.

“Kami juga mahu isu ini diselesaikan dengan baik dan tidak mahu ia dicampur-aduk dengan sentimen-sentimen politik kepartian yang melampau," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha untuk mewujudkan jawatankuasa khas itu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Menurut Najib, ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negeri serta wakil daripada tiga kerajaan negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenankan oleh Sultan masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Izani menganggap langkah Kerajaan Pusat memberi bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri itu sebagai bukti keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyatnya.

“Perdana Menteri sebenarnya sayang kepada rakyat lebih daripada parti. Maka, sebab itulah beliau sanggup buat macam itu," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...