Jumaat, 10 Ogos 2012

'Janji Ditepati' Tuntutan Islam, Bukan Tema Politik - PM



Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, tema Hari Kebangsaan tahun ini 'Janji Ditepati' bukan tema politik sebaliknya ia berpaksikan kepada tuntutan Islam.

Menurut Perdana Menteri, tema itu sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada tuntutan Islam dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

"Soal ini bukan soal politik, tidak perlu kita buat tema hari merdeka yang lain. Yang penting ialah kita ini orang Islam, wajib tunai janji tidak kira BN atau Pakatan Rakyat.

"Tema ini berpaksikan kepada rukun agama. Kita (BN) berjuang untuk tepati janji kepada rakyat. Kita akan tepati janji kita untuk beri kepercayaan pada rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus yang dihadiri lebih 10,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan pemimpin-pemimpin negeri.

Dato' Sri Najib menegaskan, BN bersedia ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang jika rakyat merasakan kerajaan yang ditunjangi oleh parti itu tidak tunaikan janji.

"Kita bersedia ditolak oleh rakyat jika kita tidak tunaikan janji-janji kita kepada rakyat. Itu komitmen kita.

"Sesama manusia pun perlu tunaikan janji, nak berniaga pun mahu berurusan dengan yang menepati janji dan kerajaan pun kita mahukan kerajaan yang menepati janji, " jelas beliau.

Sejurus selepas itu, beliau menyampaikan sumbangan Ihsan Ramadan kepada warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan keluarga miskin berjumlah RM170,000 sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad.

Artikel selanjutnya sila layari dan KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...