Ahad, 4 Februari 2024

Tony Pua dipanggil ke Bukit Aman

 


PETALING JAYA: Polis akan memanggil bekas Ahli Parlimen DAP Tony Pua ke Bukit Aman esok untuk membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai keputusan Lembaga Pengampunan tentang hukuman Najib Razak.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tentang kenyataan Pua yang dimuatnaik di Facebook, dan beliau sedang disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kenyataan seperti ini bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Pua akan dipanggil bagi membantu siasatan pada 5 Feb (Isnin), 1 tengah hari di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang diketuai Agong dan turut dianggotai peguam negara, mengumumkan hukuman penjara Najib Razak dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib dijangka akan dibebaskan dari penjara pada 2028.

Susulan itu, Pua yang juga bekas setiausaha publisiti DAP memuat naik beberapa hantaran di Facebook yang menyindir keputusan itu.

Semalam, Pemuda Umno dilaporkan berkata, pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Pua atas kebiadabannya mempertikaikan keputusan Agong.

Sementara itu, Razarudin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/04/pua-dipanggil-ke-bukit-aman-esok/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...